Oleh Ku Mohd Lufti
Saingan bagi kejohanan golf Jelajah PGA di Asia, CIMB Classic 2016 Â semakin dirasai juara bertahan, Justin Thomas.
Meskipun berjaya melakar sejarah, melakukan catatan paling rendah 262 pukulan 26 dibawah par untuk muncul juara tahun lalu, Justin berpendapat, saingan tahun ini pastinya menjanjikan cabaran tersendiri.
“Saya gembira untuk kembali semula ke sini kerana ini adalah pertama kali saya bermain dengan status gelaran juara bertahan,” kata Justin.Â
Mengakui merasakan tekanan kerana pencabar pencabarnya pastinya tidak mahu pulang dengan tangan kosong, pemain berusia 23 tahun ini punya cara tersendiri untuk menghilangkan perasaan tersebut.
“Sepanjang saingan Pro Am hari ini, saya dan caddy, Jimmy Johnson berbual bual tentang apa yang berlaku pada tahun lalu dan berkongsi kenangan kenangan manis yang telah dilalui. Kami berharap dapat ulangi semula kenangan kenangan itu di sini pada tahun ini,” katanya lagi.
Pemain kelahiran Amerika Syarikat ini menewaskan Adam Scott dengan kelebihan satu pukulan untuk menjuarai CIMB Classic pada tahun lalu.
Antara pemain yang dijangka bakal memberi tentangan sengit kepada Justin Thomas adalah juara dua kali, Ryan Moore.
Turun dengan semangat yang jitu selepas membantu pasukan Amerika Syarikat memenangi kejuaraan major, Piala Ryder awal bulan ini.
Bagi pemain berusia 33 tahun ini, beliau mengharapkan teknik pukulan di green dan putting yang mantap untuk merealisasikan peluang bergelar juara untuk kali ketiga.
“Saya selesa dengan lapangan golf di sini. Saya yakin dan mampu membaca green dengan baik seperti yang dilakukan pada tahun lalu.
“Saya mampu melakukan pukulan yang rendah, catatan 14 dibawah par pada 2013 dan 17 dibawah par pada 2014 untuk muncul juara, tetapi ada pemain yang mampu melakukan lebih baik pada tahun lepas.
“Justeru, sasaran saya adalah melakukan seberapa banyak birdie walaupun terlepas pukulan di fairway,” kata Ryan.