Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC, K. Devan berpuas hati atas komitmen seluruh pemainnya pada musim ini terutama kapten pasukan, Zaquan Adha Abd Radzak yang berjaya memimpin rakan sepasukan dengan cemerlang.
Meskipun kecundang di aksi suku akhir TM Piala Malaysia, Devan menyifatkan anak buahnya telah memberikan segala-galanya untuk sekurang-kurangnya mengikat Selangor FC 2-2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman tempoh hari.
Baginya, Zaquan yang merupakan pemain berpengalaman telah menggalas tanggungjawab selaku kapten pasukan dengan cemerlang dan satu jaringan yang berjaya dilakukannya membuktikan dia sememangnya diperlukan skuad ini.
âMalam ini (Sabtu) secara keseluruhan saya amat berpuas hati dengan komitmen dan kesungguhan pemain terutamanya Zaquan selaku kapten yang telah memimpin pasukan ini dengan begitu baik sekali.
âDan dengan gol daripadanya juga telah berjaya membuktikan pimpinannya sebagai kapten begitu diperlukan untuk pasukan ini jadi saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Negeri Sembilan.
âSaya memang akui Selangor merupakan pasukan yang lebih baik terutamanya dari segi susunan pemain mereka dan bagi kita, pencapaian ini juga boleh dibanggakan walaupun hanya sampai di suku akhir sahaja selain pencapaian di Liga Super di tempat ke empatâ, jelasnya.
Berakhir perjalanan Negeri Sembilan pada musim ini, Devan menyifatkan skuad ini tidak perlu berdepan rombakan yang besar pada musim hadapan selain hanya perlu melakukan beberapa penambahbaikan.
Dan beliau menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk menentukan kedudukannya selaku ketua jurulatih pada musim 2023.
âTerpulang kepada pihak pengurusan untuk perancangan musim depan tetapi bagi saya kita perlu buat persiapan yang lebih awal dan dengan pengalaman tahun ini, saya rasa kita boleh untuk membentuk pasukan lebih kuat.
âSelain itu saya rasa kebanyakan pemain yang ada sekarang boleh dikekalkan dan kita hanya melakukan penambahbaikan, tidak perlu tukar 100 peratus.
âKita boleh ambil pemain baharu untuk mengisi di posisi yang kurang impaknya selain perlu mencari pemain import yang lebih baik selepas iniâ, tambahnya.
Negeri Sembilan tewas kepada Selangor dengan keputusan aggregat 2-4 menyaksikan anak buah Tan Cheng Hoe mara ke separuh akhir TM Piala Malaysia dan akan berdepan Terengganu FC.