Pengendali Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Arul Selvaraj tidak terlalu bimbang mengenai peluang pasukannya dalam memburu Liga Perdana, sebaliknya lebih gusar mengenai jumlah kad kuning dipungut oleh barisan pemainnya.
Ketika ini Juara Piala TNB 2018 itu sedang mengungguli carta liga dengan 19 mata – di depan Tenaga Nasional Berhad (TNB) satu mata dan Terengganu Hockey Team (THT) enam mata.
Dengan berbaki lima aksi, Arul dan UniKL perlu memastikan mereka mempunyai ke semua 20 pemain bebas daripada penggantungan perlawanan selain masalah kecederaan yang boleh menjejaskan rentak pasukan.
Namun, pertahanan Baljit Singh Charun telah memungut dua kad hijau dan satu kad kuning yang bersamaan lapan mata demerit untuk digantung bagi aksi bertemu Unuversiti Teknologi Mara (UiTM) di Stadium Tengku Abdullah, Jumaat ini.
Justeru, Arul berharap untuk barisan penyerang Faridzul Afiq Mohd, awang import dari Australia Kieran Govers, Valentin Verga (Belanda) serta pertahanan Sukri Abdul Mutalib yang sudah mengutip satu kad kuning berhati-hati apabila turun beraksi nanti.
“Satu lagi kad kuning dikutip oleh mana-mana empat pemain ini bermakna mereka akan berdepan hukuman penggantungan satu perlawanan,” kata Arul apatah lagi selepas UiTM, cabaran lebih getir daripada TNB menanti pasukannya di Stadium Tun Razak, dua hari kemudian.
“Saya sentiasa mengingatkan pemain untuk mengawal emosi dan beraksi dengan tenang walaupun sekiranya pemain lawan melakukan provokasi.
“Menentang THT, kami terpaksa beraksi kurang pemain bagi tempoh 19 minit sepanjang perlawanan kerana beberapa pemain menerima kad kuning dan kad hijau, dan ia sebenarnya tidak bagus dalam hoki. Ini kerana rakan sepasukan lain perlu bekerja lebih apabila kita beraksi kurang pemain,” tambah Arul.
Fokus UniKL dalam baki saingan liga adalah memastikan semuanya berjalan mengikut perancangan terutamanya dari segi penyudah pukulan sudut penalti selain taktikal permainan yang lebih tersusun dan disiplin.
“Saya tidak begitu menekankan kepada pemain untuk memikirkan mengenai pemburuan liga sebaliknya lebih tekankan mengenai persembahan mereka sendiri. Kejuaraan akan datang dengan sendirinya jika kami terus mencatat kemenangan,” kata Arul.
Buat masa ini, pakar pukulan sudut penalti Razie Abdul Rahim muncul penjaring terbanyak UniKL dengan lima gol diekori bintang import dari Belanda, Robbert Kemperman dan Martijn Havenga yang masing-masing sudah menghasilkan empat gol.