Oleh Ku Mohd Lufti
Tidak mahu memberi tekanan ke atas pemain dan pengurusan, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) meletakkan sasaran kepada pasukan Kelantan untuk kekal di dalam saingan Liga Super.
KAFA menyasarkan The Red Warriors untuk berada di kelompok kedudukan 10 pasukan terbaik dalam saingan Liga Super musim ini.
Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa melihat, musim 2017, Kelantan hanya tampil sebagai pasukan berstatus ‘underdog’ kerana hampir keseluruhan pasukan dirombak.
“Piala Malaysia dan juga Piala FA, kami tidak meletakkan sasaran (untuk menjuarainya) khusus untuk tahun ini, asalkan mereka (pemain) kompetitif dan menunjukkan kualiti permainan yang bagus pada setiap perlawanan.
“Kami tiada tekanan untuk mendapatkan piala, hanya mahukan Kelantan terus kekal dan dapat beraksi dalam saingan Liga Super musim depan yang musim 2018 kami berhasrat membina pasukan terkuat dalam sejarah bola sepak negara,” kata Annuar
Aksi pembukaan, Kelantan akan melayan kunjungan pendatang baru Liga Super, Melaka United di Stadium Sultan Muhammad Ke IV pada Sabtu malam.
Senarai pemain bagi musim ini, KAFA memanggil semula pemain import dari Lubnan, Mohammed Mahmoud Ghaddar, serta pemain tempatan S. Subramaniam, Mohammad Ab Aziz Ismail, Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad dan Mohd Daudsu Jamaluddin.
Pemain pemain ini dipanggil semula untuk membantu TRW bagi memastikan misi yang ditetapkan oleh pengurusan tertinggi.
Melengkapkan kuota pemain import Kelantan adalah, Mamadou Danso, dari Gambia dan Alessandro Padovani Celin, dari Brazil.