Bekas ketua pasukan Kelantan, Badhri Radzi berharap Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) akan menyelesaikan tunggakan gajinya sejak Mei lalu yang berjumlah lebih RM100,000.
Badhri atau Piya yang pernah dinobatkan Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia berkata KAFA masih lagi berdiam diri mengenai tuntutan tunggakan gajinya dan jawapan balas yang diterima adalah mengecewakan.
âSaya sudah cuba pelbagai cara, tapi mereka kata tiada duit untuk bayar, saya sudah menyerahkan perkara ini kepada PFAM (Persatuan Pemain Bolasepak Professional Malaysia) untuk tindakan lanjut. Saya harap ada penyelesaian terbaik dalam isu ini.
âBuat masa ini saya hanya menunggu kontrak tamat pada hujung bulan depan sebelum merancang halatuju seterusnya,â kata pemain yang disisihkan daripada pasukan The Red Warriors musim ini tetapi tidak ditamatkan kontrak itu.
Piya bagaimanapun belum pasti sama ada dia akan terus bermain ataupun menggantung but walaupun mengakui ada beberapa pasukan menyatakan minat secara tidak rasmi untuk menyunting khidmatnya.
âKalau masih ada pasukan yang berminat mendapatkan khidmat saya, mungkin saya akan terus bermain. Kalau tidak, saya akan bersara dan tumpu kepada akademi bola sepak untuk anak-anak yatim yang akan diusahakan bersama Mawi (penyanyi) selain mengembangkan perniagaan wangian badan saya,â ujar Piya.
Sebagai rekod, Piya dianggap sebagai ketua pasukan paling berjaya dalam sejarah bolasepak Kelantan di mana sejak menyarung jersi pasukan itu pada 2008 dia membantu Kelantan menjulang semua kejuaraan domestik termasuklah kejayaan treble bersejarah (Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia) pada 2012.
Dia setia bersama The Red Warriors walaupun pernah beberapa kali cuba dilamar pasukan lain namun 2018 menjadi musim yang ibarat mimpi ngeri buatnya tatkala KAFA di bawah kepimpinan Bibi Ramjani Ilias Khan membuat keputusan menamatkan kontrak pemain secara besar-besaran ekoran krisis kewangan kritikal dan sebolehnya tidak menawarkan pampasan, atau membayar pampasan dengan jumlah minima yang hanya menguntungkan mereka.
Piya adalah salah seorang pemain yang cuba ditamatkan kontrak ketika saingan Liga Malaysia baru berlangsung beberapa perlawanan namun dia dilaporkan tidak bersetuju dengan jumlah pampasan yang tidak setimpal dan memilih untuk kekal.
Keengganan Piya itu menyaksikannya menjadi mangsa âpenderaan mentalâ oleh KAFA apabila dia bersama beberapa lagi pemain seangkatan seperti Amiridzwan Taj, Do Dong Hyun, Morgaro Gomis diketepikan daripada pasukan, tidak dibenarkan menjalani latihan bersama dan tidak dibayar gaji walaupun masih berkontrak. – OLEH MUHAMMAD AIMAN