chong wei feng.9
Chong Wei Feng

Oleh Muhammad Aiman

Pasangan beregu lelaki negara, Chooi Kah Ming-Low Juan Shen terus mencuri tumpuan di Kejohanan Indonesia Masters apabila melangkah ke suku akhir setelah mengetepikan gandingan tuan rumah, Yuhanes Rendy Sugiarto-Afiat Yuris Wirawan pada Khamis.

Pasangan yang baru digandingkan itu, yang mara dari pusingan kelayakan menunjukkan determinasi tinggi untuk mencatat kemenangan dalam aksi sengit tiga set 21-15, 16-21, 21-13 dalam aksi di Gedung Dome, Balik Papan.

Kah Ming dan Juang Shen yang menyimpan hasrat untuk memecah masuk ke kelompok 50 terbaik dunia menjelang penghujung tahun ini, merupakan satu-satunya wakil beregu lelaki yang masih meneruskan cabaran setelah dua lagi pasangan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Lim Khim Wah-Ong Jian Guo tersingkir di pusingan kedua.

“Kami menunjukkan aksi yang cukup mantap hari ini walaupun sedikit kehilangan fokus di set kedua. Lawan kami yang seterusnya adalah pasangan pilihan jadi saya merasakan tekanan adalah di atas mereka, bukannya kami.

“Kami mempunyai sasaran kami di kejohanan ini, iaitu menampilkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan untuk terus melangkah,” ujar Juang Shen.

Lawan yang menanti Kah Ming-Juang Shen di suku akhir adalah satu lagi gandingan tuan rumah juga pilihan keempat kejohanan, Hardianto Hardianto-Kenas Adi Haryanto yang mara setelah menyingkirkan Khim Wah-Jian Guo 21-13, 21-15.

Sementara Yew Sin-Ee Yi pula tewas 12-21, 15-21 kepada Wahyu Nayaka Arya Pankaryanira-Kevin Sanjaya Sukalmujo.

Dalam pada itu, ianya hari yang mengecewakan buat Malaysia apabila tiada seorangpun wakil perseorangan lelaki meneruskan kemaraan ke suku akhir. Setelah Soong Joon Ven, Chong Wei Feng dan Liew Daren, giliran Goh Soon Huat pula tersingkir selepas tewas 18-21, 14-21 kepada pilihan utama, Wei Nan dari Hong Kong.

Hanya Goh Jin Wei menghadirkan sedikit ceria dari acara perseorangan wanita setelah menundukkan Desandha Vegrani Putri 21-17, 21-10 seterusnya melangkah ke suku akhir GP Emas pertamanya dan menempah pertemuan menentang Gao Fangjie dari China.

Beregu campuran, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing adalah satu lagi wakil negara di suku akhir – mereka layak setelah menundukkan Afiat Yuris Wirawan-Nadya Melati dari Indonesia 18-21, 22-20, 21-16 dan akan bertemu Lukhi April Nugroho-Ririn Amelia bagi merebut tempat di separuh akhir.

- Advertisement -