Oleh Ku Mohd Lufti
Percaturan skuad bawah 22 tahun Filipina tampak tidak menjadi sehingga bolos 4 gol dalam perlawanan persahabatan ke atas skuad bawah 22 tahun Malaysia.
Pengendali sementara skuad bawah 22 tahun Filipina, Dan Padernal bagaimanapun tidak melihat kekalahan ini sebagai mengecewakan kerana perjalanan mereka dalam mempersiapkan diri sebelum temasya Sukan SEA 2017 bermula masih lagi panjang.
“Perancangan Malaysia lebih baik walaupun berlatih hanya seminggu. Pemain pemain mempunyai pengalaman kerana beraksi di liga Malaysia manakala pemain pemain saya beraksi di peringkat Universiti sahaja dan sebahagian pemain utama tidak dapat beraksi. Perlawanan ini memberi peluang kepada mereka untuk merasai sendiri perlawanan yang lebih kompetitif di luar negara,” kata Padernal.
Padernal mengakui aspek mental dilihat sebagai faktor yang menyebabkan kekalahan Filipina di Paroi, dan beliau menjanjikan pasukan dan pemain yang lebih kuat kelak.
“Kami hanya menurunkan dua pemain yang pernah bermain di Sukan SEA Singapura dan 4 pemain bawah 19 tahun, manakala pemain utama mempunyai komitmen bersama pasukan dalam saingan liga Universiti, UAAP. Saya berjanji kami akan kembali ke sini dengan pemain pemain yang lebih kuat,” katanya lagi.