KANU terus menjadi lubuk emas Johor selepas meraih tujuh daripada 10 emas yang dipertandingkan dalam sukan itu pada hari kesembilan temasya SUKMA XX MSN 2022 hari ini.
Kejayaan besar itu sekaligus melebarkan jurang dengan pesaing terdekat Terengganuyang berpuas hati dengan tuaian 5 emas hari ini – tiga menerusi kanu (K2 200m Wanita, K4 200m Lelaki dan K1 200m Wanita), sepaktakraw (Beregu Lelaki) dan angkat berat (bawah 45kg) menerusi Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri.
Daripada jumlah 46 emas yang dipertandingkan hari ini, Johor muncul pemenang terbesar meraih 13 emas menerusi kanu (7) , judo (1), menembak (2), renang (2) dan angkat berat (1).
Keseluruhannya, 219 emas, 213 perak dan 239 pingat gangsa telah dimenangi selepas selesai pertandingan hari kesembilan hari ini. Temasya SUKMA 2022 berakhir dengan upacara penutupan rasmi dijadualkan pada Sabtu ini (24 Sept).
Johor terus mengungguli kedudukan keseluruhan dengan 50 emas. Meninggalkan Terengganu di tangga kedua dengan perbezaan hampir separuh kutipan emas (26). Wilayah Persekutuan pula terus menggugat kedudukan Terengganu, mengekori rapat di kedudukan ketiga dengan 22 emas, diikuti Pulau Pinang (ke-4) dan Sabah di tangga ke-5.
Sarawak, yang kini di tangga ke-6, pasti mahu memastikan terus berada dalam kelompok 10 teratas diikuti Pahang (ke-7), Selangor (ke-8), Perak (ke-9) dan Melaka serta Negeri Sembilan di kedudukan ke-10 dan ke-11.
Bagi Johor, strategi memberi tumpuan kepada kekuatan dalam sukan Kanu nyata membuahkan kejayaan, apabila 14 emas terhasil dari sukan itu, dengan olahraga menjadi penyumbang kedua terbesar (14) diikuti berbasikal (8), wushu (6), menembak (4) dan renang dengan 4 emas.
Sukan lain yang menjadi penyumbang dengan masing-masing menghasilkan satu emas buat kontinjen selatan tanahair itu termasuk angkat berat, karate, judo, e-sports dan memanah.
Terengganu pula meraih emas menerusi 13 sukan setakat ini dengan kanu menjadi penyumbang besar 5 emas, berbasikal (4), olahraga (2), e-sports (2), gimnastik artistik (3), karate (2), sepaktakraw (2) dan satu emas masing-masing menerusi boling padang, petanque, renang, angkat berat, wushu dan memanah.
Dengan baki empat hari pertandingan, Wilayah Persekutuan,yang meraih empat emas menerusi muay thai, skuasy dan renang hari ini, pasti mahu terus memberi tekanan kepda Terengganu dalam perebutan gelaran naib juara pada edisi ini.
Begitu juga, Pulau Pinang, yang kini di tangga ke-4 dengan 20 emas, pasti tidak mahu terlepas peluang menggunakan baki saingan empat hari untuk mengatasi kedudukan Wilayah Persekutuan.
Dalam pada itu, Pahang memperbaiki kedudukan dengan melonjak empat tangga daripada kedudukan ke-11 semalam kepada ke-7 hari ini selepas pulang dengan kilauan empat emas daripada enam yang menjadi rebutan dalam menembak.
Sarawak turut mengakhiri saingan dengan 4 emas menerusi tenpin boling, terjun, renang dan skuasy, manakala Selangor berpuas hati dengan dua emas boling padang dan renang.
Saingan esok menawarkan jumlah emas paling banyak dengan 65 pingat emas dipertaruhkan dalam 13 sukan iaitu muaythai dengan 14 emas, diikuti pencak silat (8 emas), renang (7), judo (7), memanah (5), berbasikal trek (4), menembak (4), angkat berat (4), petanque (3), kanu (3), bola keranjang 5×5 (2), tenpin boling (2) dan terjun(2).
Dalam acara berpasukan, tumpuan pasti terarah kepada saingan menentukan finalis bolasepak esok, membabitkan pertembungan peringkat separuh akhir dengan Terengganu melawan Selangor di Stadium UKM, manakala Pulau Pinang beraksi menentang Wilayah Persekutuan di Stadium UiTM Shah Alam. Perlawanan akhir menentukan emas dijadualkan pada Jumaat 23 September di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.
Saingan badminton, bola jaring, bola keranjang, hoki, kapal layar, ragbi, golf dan kriket berterusan di peringkat kumpulan.
Esok (Selasa, 20 September), saingan diteruskan dengan 39 emas menjadi rebutan dalam kenu, terjun, judo, boling padang, muaythai,. Menembak, skuasy, menembak, renang dan angkat berat.