29th SEA Games KL2017 Karate – Dari kiri; Lim Chee Wei, Senthil Kumaran, Celine Lee dan Pressy Misty Philip.

SAINGAN karate bermula pada Isnin (22 Aug) di Dewan Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang Malaysia meraih tiga emas, permulaan yang baik dalam usaha merebut sebahagian besar daripada 16 emas yang dipertandingkan pada Sukan SEA 2017.

Emas pertama negara hadir dalam acara kata individu wanita menerusi Celine Lee Xin Yi yang mempamerkan gerakan mantap untuk muncul juara.

Celine tidak berdepan cabaran untuk mengatasi pesaing Indonesia, Sisilia Agustiani dengan kemenangan 5-0.

“Saya menghadiahkan kemenangan ini kepada Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan dua orang jurulatih yang merupakan ‘sensei’ yang telah melatih saya sejak berumur tujuh tahun,”kata Celine Lee Lee.

Pingat perak milik Sisilia Agustani diikuti gangsa yang dikongsi bersama Nguyen Thi Hang dari Vietnam dan Monsicha Tararattanakul dari Thailand.

Lim Chee Wei mengikuti jejak Celine meraih emas kedua negara menerusi acara kata individu lelaki. Beliau menerima tentangan hebat atlet Indonesia, Ahmad Zigi Zaresta Yuda tetapi berjaya meraih kemenangan 3-2.

“Kami bekerja keras untuk mendapatkan pingat emas pada hari ini dan kemenangan ini saya tujukan kepada Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), MSN dan barisan kejurulaltihan yang banyak membantu kami,”kata Lim Chee Wei.

Melengkapkan koleksi tiga emas negara dalam karate S. Kumaran dalam acara Kumitte bawah 60kg. Berdepan cabaran Jason Ramil Macaalay dari Filipina, S Kumaran ketinggalan 0-3 pada awal saingan tetapi akhirnya bangkit untuk mengatasi 5-3.

29th SEA Games KL2017 Karate Kumite 60kg Gold Winner – Senthil Kumaran A/L Silvarajoo.

“Sebulan lepas, saya mengalami keretakan buku lali, namun berjaya pulih sepenuhnya. Kemenangan ini saya tujukan untuk rakyat Malaysia,“kata S Kumaran yang juga pemenang pingat emas dalam acara yang sama di Sukan SEA 2013 di Myanmar.

Dalam pada itu, impian menyaksikan emas keempat negara tidak kesampaian apabila Pressy Misty Phillip tewas di saat akhir di tangan Nguyen Thi Hong Anh dari Vietnam dalam acara Kumitte atas 68kg.

Meskipun mendahului 3-1 pada satu ketika, namun Pressy yang lebih banyak bertahan.

Atlet Indonesia, Dessynta Rakawuni Banurea dan Saowarot Samseemoung dari Thailand melengkapkan podium selaku pemenang bersama pingat gangsa.

Acara Kumite Bawah 50kg pula menyaksikan atlet Indonesia Srunita Sari Sukatendel muncul juara selepas menewaskan atlet Thailand, Paweena Raksachart.

Manakala Tran Thi Khanh Vy (Vietnam) dan Junna Tsukii (Filipina) berkongsi kedudukan selaku pemenang pingat gangsa.

Sementara itu, Thailand meraih emas dalam acara Kumite bawah 67kg menerusi Supa Ngamphuengphit selepas menundukkan wakil dari Filipina, Rexor Tacay.

- Advertisement -