Selepas meledak gol menakjubkan dalam aksi pertama TM Piala Malaysia, semangat pemain pertahanan Sabah, Park Tae Su semakin membara untuk membantu pasukan memburu kemenangan ke atas Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu pada malam esok.
Jelas pemain import Korea Selatan itu, aksi menentang Kelantan FC cukup penting bukan sahaja untuk meraih tiga mata penuh tetapi mahu menamatkan kemarau 11 perlawanan tanpa sebarang kemenangan.
Masih segar dengan jaringan ‘menggegar dunia’ semasa membantu Sabah seri 1-1 dengan PJ City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Tae Su yang mendapat nama panggilan ‘Karim’ dalam kalangan rakan sepasukan, mengharapkan situasi berkenaan akan menyalakan semangat juang Sabah selepas melalui musim yang mengecewakan di pentas Liga Super.
Ditambah kehadiran Datuk Ong Kim Swee selaku pengendali baharu di Sabah, dia mengakui semangat juang pasukan juga semakin tinggi bagi hadapi perlawanan yang akan mendatang.
“ Sememangnya pasukan kami sudah lama tidak memenangi sebarang perlawanan dan bertemu Kelantan, sudah tiada pilihan lagi kecuali menang bagi mencerahkan laluan ke peringkat seterusnya.
“ Kami sudah 11 perlawanan tidak menang dan kali terakhir semasa berdepan Melaka pada 5 Mei lalu di laman sendiri, jadi saya harap selepas aksi yang baik dengan PJ City, kami mampu teruskan ketika berdepan Kelantan.
“ Sebagai individu, saya sangat gembira dengan jaringan yang dilakukan pada perlawanan lepas kerana itu adalah gol terbaik sepanjang di dalam karier saya sebagai pemain bola sepak dan harap itu mampu jadi pemangkin semangat kepada pasukan.
“ Tambahan saya merupakan pemain di posisi pertahanan, sangat jarang untuk saya menjaringkan gol dan bertambah buat saya rasa berbangga, jaringan itu turut mendapat perhatian banyak pihak termasuk ciapan di twitter FIFA.
“ Biasanya sepakan percuma dalam pasukan akan diambil Levy Madinda atau Saddil Ramdani, cuma pada perlawanan itu, saya mendapat keyakinan untuk mengambilnya malah saya meminta dari Levy sendiri, tidak sangka jaringan mampu dihasilkan, harap saya boleh lakukan lagi pada perlawanan lain, ” katanya.
Manakala di kem Kelantan, Rezal Zambery Yahya yang mendapat kepercayaan menggantikan Marco Ragini yang terpaksa direhatkan atas faktor kesihatan, semakin bersedia dengan gelora TM Piala Malaysia selepas aksi pertama menyaksikan mereka tewas 0-2 kepada juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Walaupun kalah, persembahan mereka mendapat perhatian banyak pihak terutama aksi penjaga gol, Farizal Harun yang menyelamatkan banyak percubaan berbahaya lawan.
Berdepan Sabah, Rezal bagaimanapun menghormati kredilbiti Kim Swee yang kaya dengan pengalaman serta mampu memberikan nafas baharu kepada pasukan.
“ Saya ucapkan terima kasih kepada pengurusan kerana percaya dengan saya biarpun boleh dikatakan, saya masih dalam kategori jurulatih muda bagi kancah Liga Malaysia dan saya berani sahut cabaran untuk bawa pasukan melangkah ke suku akhir TM Piala Malaysia.
“ Aksi dengan Sabah sememangnya sangat menarik kerana mereka juga mendapat khidmat jurulatih baru yang pasti akan mendapat tonik serta corak permainan terbaharu.
“ Kelebihan pemain-pemain tempatan Sabah ialah mereka telah lama dalam satu pasukan selain kemampuan pemain import yang tidak boleh dipandang rendah.
“ Apa yang saya mahu tekankan dalam kalangan pemain, kekalkan disiplin dalam mengikuti taktikal yang diarahkan seperti mana mereka lakukan semasa berdepan JDT serta kurangkan kesilapan apabila bertemu pasukan-pasukan dari Liga Super, “ katanya.
Satu lagi perlawanan Kum.pulan D TM Piala Malaysia yang turut berlangsung pada esok adalah membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan PJ City di Stadium Sultan Ibrahim.