Oleh Muhammad Aiman
Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim mengalami serangan jantung di Lapangan Terbang Dubai, ketika dalam perjalanan pulang dari menyaksikan Kejohanan Olahraga Eropah di Armsterdam pada Jumaat lalu.
Karim ketika dihubungi Sports247, mengesahkan perkara itu, “Saya semakin beransur pulih dan perlu berehat dulu selama lebih kurang 10 hari sebelum boleh pulang ke tanah air. Doktor kata ada dua lubang tersumbat dan saya sudahpun menjalani pembedahan kecil.
“Sebenarnya ini kali pertama saya mengalami serangan seperti ini, ia berlaku terlalu pantas. Saya sedang tunggu transit ke KLIA dan mula rasa tidak selesa dan terima kasih kepada pihak lapangan terbang Dubai yang cepat mengambil tindakan untuk hantar saya ke hospital.
“Terima kasih juga kepada keluarga saya, serta Dahlan Al Hamad (Presiden Kesatuan Olahraga Asia) dan Ahmad Kamali (ahli jawatankuasa IAAF) yang banyak membantu sepanjang berada di Dubai ini. Saya tidak sabar untuk kembali segera turun padang sebab selepas ini kita ada beberapa pertandingan besar termasuk Olimpik.”
Untuk rekod, Karim merupakan Presiden KOM sejak 2014 selepas menewaskan pencabarnya Datuk Wan Hisham Wan Salleh pada Mesyuarat Agung Tahunan KOM penggal 2014-2016 dengan meraih 33 undi, berbanding lapan milik Wan Hisham.