NRP_0919

Oleh Ku Mohd Lufti

Pendahulu CP130 Kasma Daniel Kasmayuddin yakin gandingan bersama pelumba senior, Ahmad Fazli Sham memainkan peranan penting untuk terus kekal berada dalam kelompok pendahulu menjelang pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2017 di Batu Kawan, Pulau Pinang, minggu ini.

Pelumba berusia 17 tahun dari pasukan PETRONAS Yamaha Maju Motor itu kini mengumpul 25 mata, lima mata mengatasi rakan sepasukan, Fazli hasil kemenangan satu – dua di Serdang, bulan lepas.

“Fazli merupakan pelumba yang cukup berpengalaman dan saya boleh bergantung harap kepadanya bagi mempertahankan kedudukan kami dan pasukan dalam kategori CP130 ketika ini. Sewaktu perlumbaan pembukaan tempoh hari, Fazli berjaya menyekat kemaraan pelumba di belakang dan saya berjaya memenangi perlumbaan dengan jurang masa yang besar. Kami harap dapat sekali lagi mengatur strategi untuk sama-sama naik ke atas podium lagi pada perlumbaan di Batu Kawan,” jelas Kasma.

Jurang perbezaan umur sebanyak 17 tahun diantara pelumba rookie CP130 itu dan Fazli tidak menjadi penghalang untuk mereka serasi bekerjasama di litar.

“Fazli merupakan juara pada tahun 2007 dan 2008. Dia meraih banyak kejayaan sepanjang kariernya sehingga hari ini. Dia adalah mentor saya sejak mula menyertai Maju Motor dan tidak pernah kedekut untuk berkongsi ilmu,” jelas Kasma yang juga merupakan juara CP115 musim 2015.

“Kali terakhir Maju Motor muncul juara keseluruhan berpasukan CP130 pada lapan tahun lepas. Saya harap kali ini kami dapat membawa kembali gelaran tersebut ke pasukan.”

Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS akan berlangsung di Stadium Negeri Batu Kawan pada 16 dan 17 April.

- Advertisement -