Pelumba muda negara, Kasma Daniel Kasmayuddin mengintai peluang untuk menaiki podium apabila bakal beraksi dalam saingan berprestij Kejuaraan Suzuka 4-Hour Endurance yang akan berlangsung di Litar Suzuka, Jepun bagi edisi 2018 ini.

Kasma, 18 tahun bersama rakan sepasukan, Mohd Ramdan Mohd Rosli sudah tidak sabar untuk tampil pertama kali dan mencari kemenangan di pentas kejuaraan yang dijadual bermula pada 27 hingga 29 Julai ini mengulangi pencapaian gandingan Azlan Shah Kamaruzaman dan Emir Firdaus Hasan yang muncul juara kategori sama pada tahun 2011 diikuti gandingan Emir dan Mohd Zaqhwan Zaidi pada tahun 2012.

“Saya cukup teruja dan gembira apabila pihak Hong Leong Yamaha memberitahu bahawa kami akan beraksi dalam saingan Suzuka 4-Hour pada tahun ini. Walaupun tidak banyak latihan bersama jentera 600cc, kami mempunyai pengalaman di Litar Suzuka dalam aksi di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC),” jelas Kasma.

Tambahnya, “Kami meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya dapat menamatkan saingan di atas podium. Saingan semestinya cukup sukar terutama dengan kehadiran pelumba-pelumba yang turut beraksi di ARRC disamping pelumba tempatan Jepun. Walau apapun, kami akan merancang strategi sebaik mungkin terutama dari segi untuk memastikan kecergasan diri pada tahap terbaik.”

Pada masa sama pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu turut mengintai peluang untuk mempertahankan kemenangan di Litar Jasin apabila turun beraksi dalam kategori CP150 pada pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, hujung minggu ini.

Kasma memulakan musim 2018 dengan mencatat kemenangan pada pusingan pembukaan di Litar Tangkak, Johor, April lepas namun tewas kepada Ahmad Afif Amran dan rakan sepasukan, Mohd Akid Aziz sewaktu pusingan kedua di MAEPS, Selangor, baru-baru ini.

“Prestasi saya kekal di tahap terbaik cuma adakalanya sedikit kesilapan akan membawa padah. Itulah yang berlaku di MAEPS. Saya akan lebih berhati-hati dan tidak mengulangi kesilapan serupa serta pada masa sama cuba untuk mengekalkan kemenangan di Jasin tahun lalu meskipun pada tahun ini menggunakan litar yang berbeza,” jelas Kasma yang kini berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan 41 mata.

- Advertisement -