kasma03

Kasma Daniel Kasmayuddin mahu meneruskan momentum kejayaan menjuarai perlumbaan CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Kangar, Ahad lepas dengan misi untuk meraih podium di dalam kelas Asia Production 250cc Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand hujung minggu ini.

Pelumba berusia 16 tahun itu mempamerkan aksi cemerlang untuk mendominasi perlumbaan CP130 yang juga kemenangan kedua daripada tiga pusingan Kejuaraan Cub Prix musim ini sekaligus menjadi pembakar semangat untuk mempamer aksi serupa untuk berhadapan jaguh muda dari Asia.

“Saingan di pentas Asia lebih sengit dengan kehadiran ramai pelumba-pelumba berbakat dari seluruh Asia. Namun saya yakin mampu memberikan aksi terbaik dan cuba memberikan saingan khususnya untuk menyekat dominasi trio dari Thailand,” jelas Kasma yang beraksi bersama pasukan Yamaha Finson Racing itu.

“Bagaimanapun saingan pasti mencabar, ditambah dengan kehadiran pelumba wildcard dari Thailand. Saya harap pasukan saya sekali lagi dapat menyediakan jentera yang baik untuk menghadapi perlumbaan minggu ini.”

Ketika ini Kasma berada di tangga kelapan keseluruhan dengan 17 mata selepas menamatkan perlumbaan di tangga ketujuh pada Perlumbaan 1 dan kelapan pada Perlumbaan 2 sewaktu pusingan pembukaan di Litar Johor, Pasir Gudang, April lepas.

Kedudukan pendahulu Asia Production 250cc menjadi milik trio Yamaha Thailand Racing Team dengan Apiwat Wongthananon mendahului senarai dengan 50 mata maksimum diikuti Peerapong Loiboonpeng di kedudukan kedua dengan 40 mata dan Anupab Sarmoon ketiga, 32 mata.

- Advertisement -