Satu sesi ‘town hall’ khas pengamal media sukan negara bersama Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan diadakan Disember ini.
Persetujuan itu dicapai ketika kunjungan hormat Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) ke atas Syed Saddiq di pejabatnya di sini hari ini.
Syed Saddiq berkata sesi berkenaan bertujuan mencari penyelesaian terbaik ke arah pembangunan sukan negara khususnya untuk perkembangan di peringkat akar umbi.
“Saya tahu ramai pengamal media sukan yang sudah lama terlibat dalam bidang penulisan sukan dan memahami selok-belok bidang ini.
“Jadi, kita harap dengan penganjuran sesi town hall dengan pengamal media sukan tanah air, kita dapat bersama-sama mencari satu titik pertemuan ke arah mengangkat martabat sukan negara,” katanya.
Beliau juga tidak menafikan pengamal media sukan banyak memainkan peranan membantu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta agensi di bawahnya, sama ada dari segi pembangunan sukan negara, perkembangan atlet dan juga persatuan sukan.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan pendiriannya mengenai pembangunan sukan negara yang perlu diberi tumpuan bermula daripada peringkat akar umbi.
“Saya mahu pembangunan sukan di peringkat akar umbi bukan sekadar di kawasan pedalaman seperti di Sik, Kedah tapi ia perlu merangkumi juga kawasan Orang Asli di mana sekurang-kurangnya perlu ada padang untuk mereka melakukan aktiviti,” katanya.
Sementara itu, Presiden SAM Jasni Shafie berkata pertemuan hari ini ibarat sinar baharu buat SAM untuk terus membantu KBS dan menteri dalam mencari hala tuju sukan negara.
Beliau berkata SAM menyambut baik cadangan menteri bagi menganjurkan sesi town hall bersama pengamal media sukan dan kesudian beliau mendengar pandangan daripada media.
“Ini cadangan menteri sendiri untuk kita (SAM) anjurkan town hall. Kita akan kumpulkan semua pengamal media sukan sama ada lama dan baharu untuk sama-sama mengambil bahagian.
“Pertemuan hari ini juga memberi sinar baharu buat kita, kerana kita akan mendapat sebuah pejabat untuk menjalankan operasi persatuan dengan lebih lancar. Pada perbincangan tadi, menteri ambil maklum mengenai perkara ini,” katanya.
Dalam pada itu, Jasni berkata beliau amat berbesar hati atas kesudian menteri untuk terus mengekalkan jalinan kerjasama erat dengan SAM serta pengamal media sukan tanah air dengan menganjurkan beberapa acara sukan bersama media.
— BERNAMA