Oleh Muhammad Aiman
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menegaskan pihaknya di Kementerian Belia dan Sukan akan terus memberi kerjasama terbaik kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) demi pembangunan bolasepak negara.
Meskipun tidak memperincikan apa bentuk kerjasama yang dimaksudkan, Khairy berkata, “Apa sahaja keputusan dibuat FAM, jika ianya bermanfaat bagi pembangunan bolasepak kita akan beri sokongan penuh. Kita akan berikan kerjasama yang terbaik dan sudah tentunya kia berharap ia beri sesuatu yang positif bagi kedua-dua pihak.”
Beliau berkata demikian selepas melancarkan penjualan nombor pendaftaran kenderaan ‘RIMAU’ di Putrajaya pada Rabu.
Sebelum ini, Presiden baru FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ada mencadangkan agar peruntukan yang diberi kerajaan kepada Program Pembangunan Bolasepak Nasional (PPBN) diberi kepada FAM agar ia boleh disalur kepada ahli gabungan untuk mewujudkan program pembangunan mereka sendiri.
Selain itu, Tunku Mahkota Johor itu turut membayangkan bahawa beberapa jurulatih dari PPBN itu sendiri akan dilantik mengendalikan pembangunan di peringkat kelab atau negeri.
Ditanya sama ada itu dimaksudkannya sebagai sedia bekerjasama, Khairy memilih untuk tidak mengulas lanjut dan mengulangi pendirian akan memberikan kerjasama yang terbaik.
Dalam pada itu, mengenai keputusan empat pemain – Safiq Rahim, Amirulhadi Zainal, S.Kunanlan dan Aidil Zafuan Abdul Radzak keluar dari persaraan dan kembali menyertai pasukan kebangsaan, Khairy mengharapkan impak yang baik dari tindakan berkenaan.