Penantian untuk pemain pemain bolasepak dan sukan tempur melakukan latihan secara sentuhan dijangka berakhir apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan megemukakan cadangan ke Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 9 Julai depan.
Menerusi kenyataan media, selain meminta kebenaran untuk sesi latihan secara sentuhan, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican juga akan mencadangkan kebenaran untuk penganjuran kejohanan sukan dan rekreasi melibatkan aktiviti yang tidak ada sentuhan badan seperti sukan individu, sukan permotoran, sukan riadah, sukan air dan sukan ekstrem dilaksanakan secara berperingkat.
Cadangan yang akan dibentangkan tertakluk kepada persetujuan ahli-ahli mesyuarat berkenaan, selain pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Cadangan kebenaran untuk latihan secara kontak penuh (full contact training) ini akan memperlihatkan juga harapan dan kemungkinan untuk Liga Bola Sepak (Malaysia Football League) dan kejohanan-kejohanan sukan yang lain dapat dimulakan dalam masa yang terdekat,” jelas Reezal Merican.
Pengusaha padang dan gelanggang komersial serta akademi untuk sukan bola sepak dan futsal akan menerima perkhabaran semasa selepas sesi libat urus diadakan dalam masa terdekat untuk berkongsi pandangan demi pembangunan sukan dalam negara, selain memberi cadangan penambahbaikan prosedur operasi standard yang bersesuaian.