Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC B, Rosle Md Derus beri bayangan cabaran yang lebih tinggi akan dirasai apabila bakal berentap di Liga Juara Piala MFL 2023.
Kedah akan memulakan aksi pertama menentang Selangor FC Bawah 23 Tahun pada 7 Ogos ini menyaksikan pertembungan sukar bakal ditempuh memandangkan lawan mereka cemerlang di kedudukan teratas peringkat Kumpulan B sebelum ini.
Bagi Rosle, barisan pemainnya ketika ini telah melaksanakan tugas dengan cukup baik di peringkat kumpulan meskipun agak bergelut tewas dalam tiga perlawanan lepas sebelum akhirnya berjaya mengesahkan kedudukan di tangga empat teratas sekaligus layak ke Liga Juara.
Dan sudah pasti, harapan besar diletakkan kepada penyerang import mereka, Ebenezer Assufiah yang berjaya meraih 11 gol untuk terus mencetak jaringan lebih banyak selepas ini.
“Setakat ini tahap keyakinan pemain semakin baik walaupun kami kalah dalam tiga perlawanan lepas dan sebab itu saya selalu membuat banyak pertukaran pemain.
“Dan kami pun belum pernah lawan Selangor, jadi saya kena buat kerja lebih sikit untuk kaji corak permainan mereka sebab saingan lebih sengit dan sudah tentu tekanan juga makin tinggi.
“Saya percaya tidak mustahil untuk kami terus bangkit dan saya turut berharap Assufiah dapat sekali lagi bantu pasukan dengan jaringan-jaringannya”, katanya.
Selain itu, pengendali Terengganu FC II, Hairuddin Omar pula tidak mahu barisan pemain selesa meskipun mereka cemerlang dengan 11 kemenangan di peringkat kumpulan sebelum ini untuk berada di kedudukan teratas.
Misi wajib menang perlu ada apabila bakal menentang Perak FC II pada 6 Ogos bagi memastikan para pemain mendapat tonik keyakinan lebih awal di pentas Liga Juara ini.
“Perlawanan lawan Perak ini sangat penting sebab kalau kita nak melangkah jauh dalam Liga Juara, kita kena menang aksi pertama supaya dapat bina keyakinan dan momentum lebih awal.
“Sudah pasti keputusan positif yang diraih (peringkat kumpulan) beri semangat kepada mereka tetapi saya harap pemain dapat terus fokus sebab saingan selepas ini lebih sengit dan mencabar.
“Saya yakin Insya-Allah pasukan dapat beri prestasi terbaik sekaligus dapat melangkah lebih jauh untuk ke final nanti”, katanya.
Sebanyak lapan pasukan iaitu empat pasukan teratas daripada Kumpulan A (Terengganu FC II, JDT II, PDRM FC, Kedah Darul Aman FC B) dan B (Selangor FC, Kuala Lumpur City Extension, Sri Pahang FC, Perak FC II) layak berentap di pusingan Liga Juara Piala MFL bermula 6 Ogos ini.
Bermain dengan format liga satu pusingan sahaja, dua pasukan teratas Liga Juara ini seterusnya akan layak ke Perlawanan Akhir Piala MFL.