Saingan jelajah berbasikal Le Tour de Langkawi 2021 sah terpaksa dibatalkan susulan keadaan tidak menentu penularan wabak Covid 19 di seluruh dunia ketika ini.
Keputusan untuk membatalkan perlumbaan berbasikal terbesar di Asia Tenggara itu dicapai secara sebulat suara ketika mesyuarat khas melibatkan beberapa pihak termasuk KBS, pada Isnin.
Perkara tersebut disahkan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Wahab yang turut menjelaskan susulan pembatalan LTdL 2021 akan memberi kesan terhadap penganjuran edisi seterusnya pada 2022.
Malah penjelasan terperinci akan diberikan kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dengan kadar segera untuk makluman kepada pasukan pasukan yang telah dijemput.
PKBM berharap badan induk berbasikal dunia itu dapat menerima penjelasan yang diberikan atas faktor semasa yang sangat mendesak.
Hanya yang menjadi persoalan, mengapa PKBM yang menggalas tugas yang seringkali dilakukan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung penundaan LTdL 2021 sedangkan ia sepatutnya diumumkan oleh KBS yang menjadi ‘ketua’ dan bertanggungjawab dalam hal hal melibatkan sukan di Malaysia.
Pembatalan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke 20 yang sepatutnya dilangsungkan di Johor juga dilakukan oleh KBS selepas semua pemegang taruh bersetuju dengan keputusan itu.