var

Oleh Ku Mohd Lufti

Buat pertama kali dalam sejarah bolasepak dunia, Video Assistant Referee (VAR) diuji sebelum sistem ini dipersetujui untuk penggunaan secara rasmi atau sebaliknya pada 2018.

Sistem ini diuji dalam perlawanan Piala Belanda, pertemuan diantara pasukan Willem II Tilburg dengan Ajax Amsterdam di Amsterdam Arena.

Pemain Willem II Tilburg, Anuowar Kali menjadi pemain pertama yang dibuang padang menerusi sistem VAR.

Pengadil perlawanan, Danny Makkelie pada awalnya melayangkan kad kuning, namun mengubah keputusan kepada kad merah.

Seorang lagi pengadil, Pol van Boekel yang meneliti ulang tayang video mendapati pemain itu memijak buku lali pemain Ajax, Lasse Schone.

Boekel kemudiannya memberi penjelasan kepada Danny yang kemudiannya mengubah keputusan untuk melayangkan kad merah kepada Anuowar.

Ini adalah pertama kali keputusan dibuat menggunakan bantuan video ulang tayang, dan ia sama seperti sukan hoki yang turut menggunakan sistem ini untuk membantu pengadil perlawanan membuat keputusan.

Keputusan itu bagaimanapun mengelirukan penonton yang hadir susulan tindakan yang dibuat oleh Danny Makkelie kerana tidak menyedari akan sistem VAR yang sedang diuji.

Sistem ini akan terus diuji, kali ini melibatkan satulagi perlawanan Piala Belanda diantara Feyernoord dan Oss FC.

Bulan lalu, teknologi video digunakan ketika aksi persahabatan antarabangsa antara Perancis dan Itali di Bari, namun perlawanan tidak dihentikan untuk pengadil melakukan penilaian terhadap ulang tayang video insiden.

Jawatankuasa Bolasepak Antarabangsa dijangka membuat keputusan tentang penggunaan VAR dalam undang undang bola sepak pada 2018.

- Advertisement -