Kira kira 48 jam ruang yang ada buat skuad bawah 23 tahun negara sebelum berdepan satu lagi tugas getir, berdepan Jepun di peringkat 16 terbaik.
Banyak yang perlu difikirkan Kim Swee sebelum turun ke Bekasi bagi memburu slot suku akhir.
Tamat perlawanan terakhir peringkat kumpulan semalam, Kim Swee mendedahkan kekurangan yang masih wujud dalam skuadnya, malah menjangkakan tugasan pada 24 Ogos nanti tampak lebih sukar berbanding ketika menentang Korea Selatan.
Tumpuan utama Kim Swee adalah tahap kecederaan yang dialami Muhd Akhyar Abd Rashid yang bergelut ketika beraksi semalam.
“Perkara lain yang menjadi kerisauan saya adalah kecederaan dimana Akhyar terpaksa dibawa keluar kerana bergelut ketika bermain. Kami akan memantau perkembangan kecederaannya sebelum pertemuan dengan Jepun nanti,”kata Kim Swee.
Beliau juga menambah, Jepun mempunyai kombinasi pemain yang baik dan menjangkakan mereka sudah dikumpulkan bersama untuk tempoh yang lama berbanding Malaysia.
Malah, kredibiliti pasukan Jepun tidak perlu dihurai panjang kerana mempunyai rekod yang baik melibatkan pelbagai peringkat umur di kejohanan antarabangsa yang disertai.
Berbeza di kem Malaysia, Kim Swee tampak pening dengan prestasi pemain yang masih belum berada di tahap yang ditetapkan.
“Beberapa pemain tidak berada di tahap yang diperlukan. Kami tiada banyak masa untuk mempertingkatkan semua pemain dan mereka perlu tahu.
“Pemain perlu sedar untuk bekerja keras. Saya kecewa kerana ada pemain yang tidak menunjukkan sebarang peningkatan dan komitmen,”katanya lagi.