Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia muncul naib juara Terbuka Hylo 2021 selepas terpaksa menarik diri ketika di set penentuan dalam aksi final menentang wakil Singapura, Loh Kean Yew malam tadi.
Zii Jia nyata menantikan aksi final ini dalam misi menamatkan kemarau tanpa trofi hampir lapan bulan selepas muncul juara All England pada Mac lalu malah, menebus kekecewaan tewas kepada Kean Yew di Terbuka Perancis penghujung Oktober lalu.
Turun dengan status pilihan kedua Zii Jia tampak dilandasan terbaik untuk muncul juara selepas menang 21-19 meskipun diekori rapat Kean Yew sepanjang perlawanan.
Namun Kean Yew yang menghuni ranking ke 39 dunia ini bangkit dengan aksi yang lebih kemas dan menggunakan rali panjang untuk memerangkap Zii Jia meskipun bergelut dengan ketidakselesaan akibat kecederaan di tangannya sekaligus memenangi set kedua 21-13.
Loh Kean Yew terus konsisten dan memimpin saingan penentuan tatkala Zii Jia semakin tertekan untuk membaca gerakannya sehingga mengalami kecederaan ketika dipertengahan set ketiga.
Zii Jia akur terpaksa menarik diri ketika kedudukan memihak Kean Yew 17-12 sekaligus mengesahkan status sebagai naib juara.
Ini adalah pentas final kedua Zii Jia bagi tahun ini selepas mara ke final dalam saingan All England yang menyaksikannya muncul juara selepas menundukkan Viktor Axelsen.