Oleh Muhammad Aiman
Kem olahraga negara menerima perkhabaran membimbangkan apabila jaguh pecut, Khairul Hafiz Jantan mengalami kecederaan – dikhuatiri harmstring – ketika beraksi di acara final 100m Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura pada Jumaat.
Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia, Datuk Karim Ibrahim berkata Khairul Hafiz mengalami kecederaan itu setelah berlari sejauh 50m dan hampir terjatuh namun meneruskan larian untuk menamatkan saingan di tempat keempat dengan catatan masa 10.86s.
Emas acara itu dimenangi Mudiyasa Dewa Made dari Indonesia dengan catatan masa 10.72s manakala perak dimenangi Anfernee Lopena dari dari Filipina dan gangsa pula dimenangi seorang lagi atlet negara, Haikal Hanafi dengan catatan masa 10.85s.
Andai benar ianya kecederaan harmstring, Khairul Hafiz mungkin terpaksa berehat panjang sekaligus menjejaskan persiapannya bagi menghadapi Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, pada Ogos.
Malah dia turut disasarkan dapat menoktahkan kemarau emas Malaysia dalam acara riben biru di temasya dwitahunan itu berdasarkan prestasi semasanya selain turut membantu kuartet 4x100m menamatkan dominasi Thailand dalam acara itu. Â
“Kecederaan Khairul Hafiz turut menyebabkan kita membuat keputusan untuk menarik diri dari acara 4x100m (di Terbuka Singapura) kerana kita bimbang ia akan memudaratkan lagi kecederaan Khairul Hafiz lebih-lebih lagi dia sandaran kita untuk menyerlah di Sukan Sea nanti.
“Kita harap kecederaan dia tidak begitu serius sepertimana yang kita semua bimbangkan. Kita akan buat penilaian, apapun kita yakin dia akan bangkit segera, dia masih punyai masa untuk persediaan menghadapi Sukan Sea nanti,” kata Karim.
Dalam pada itu, jaguh lempar cakera kebangsaan, Irfan Shamsudin berjaya memperbaharui rekod kejohanan berusia 19 tahun milik Lee Newman dari Wales setelah melakukan lemparan sejauh 57.59m sekaligus meraih pingat emas.
Pingat perak dan gangsa acara itu masing-masing dimenangi oleh atlet Jepun, Yuji Tsutsumi (54.88m) dan Go Chinen (49.94m).
Malaysia menamatkan kejohanan selama dua hari itu dengan merangkul tujuh emas menerusi acara lompat tinggi lelaki dan wanita, lempar cakera lelaki dan wanita, lompat kijang lelaki, 4x100m wanita dan 1,500m lelaki.  Â