Empat wakil negara mengesahkan slot kemaraan ke pusingan kedua kejohanan badminton Indonesia Masters.

Paling awal mengesahkan slot ke pusingan kedua adalah pasangan bergu campuran muda, Hoo Pang Ron – Cheah Yee See yang diberi kemenangan selepas pasangan Jepun, Yujiro Nishikawa – Saori Ozaki menarik diri akibat kecederaan.

Mengikuti jejak Pang Ron-Yee See adalah Chan Tang Jie – Peck Yen Wei yang menundukkan pasangan Korea SelatanĀ Seo Seungjae- Kim Hye Jeong dengan kemenangan straight set 21-17, 21-13.

Turut mara gandingan bergu lelaki, Goh Sze Fei – Nur Izzuddin Rumsani yang menang ke atas satu lagi pasangan Korea SelatanĀ Kang Minhyuk – Seo Seungjae 21-10, 21-17

Teo Ee Yii – Ong Yew Sin juga mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pilihan keenam dari India, Satwiksairaj Rankireddy – Chirag Shetty 21-17, 21-15

Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia terpaksa menarik diri daripada meneruskan saingan di kejohanan badminton Indonesia Masters selepas mengalami kecederaan belakang ketika menentang pemain Denmark, Rasmus Gemke.

Zii Jia memutuskan untuk menarik diri pada ketika ketinggalan 9-11 di set pertama.

Pemain nombor tujuh dunia itu turut menarik diri ketika aksi final Terbuka Hylo di Jerman pada 7 Nov, ketika perlawanan berkedudukan 21-19, 13-21 dan 12-17 berhadapan pemain Singapura kelahiran Pulau Pinang, Loh Kean Yew.

“Pinggang Zii Jia masih belum sembuh sepenuhnya dan dia masih merasai kesakitan, kita tidak akan paksa Zii Jia untuk terus bermain. Kita akan terus pantau keadaan Zii Jia, kerana masih ada kejohanan minggu hadapan,” kata ketua jurulatih perseorangan negara Hendrawan.

Juara All England itu berkata, dengan lebih banyak kejohanan seperti Terbuka Indonesia (23-28 Nov) dan Final BWF Dunia (1-5 Dis), beliau akan membuat keputusan mengenai penyertaannya kemudian.

 

- Advertisement -