ong.kim.swee

Oleh Muhammad Aiman

Episod kecederaan berpanjangan tampak merencatkan peluang buat kapten Perak, Nasir Basharudin untuk tersenarai dalam skuad Piala AFF Suzuki yang akan berlangsung di Myanmar bermula 20 November depan.

Pengendali pasukan kebangsaan, Dato’ Ong Kim Swee mengesahkan pemain tengah itu tersisih dari sesi latihan kerana kecederaan pangkal peha dan dia kini kesuntukan masa untuk kembali cergas sepenuhnya tatkala tinggal empat hari sahaja lagi sebelum senarai 23 pemain dimuktamadkan.

“Untuk berlaku adil, saya perlu menunggu keputusan laporan kesihatan sebelum membuat keputusan sama ada Nasir boleh disenaraikan atau tidak dalam skuad kali ini. Saya perlu teruskan dengan pilihan yang ada kerana kita tidak mempunyai masa yang panjang,” ujar Kim Swee.

Untuk rekod, ini adalah kali kedua Nasir mengalami kecederaan pangkal peha musim ini malah pemain berusia 26 tahun itu lebih banyak menghabiskan masa di bilik rawatan berikutan beberapa siri kecederaan termasuk harmstring dan meniscus.

Kim Swee sebelum ini memanggil Nasir yang merupakan bekas pemain Harimau Muda (B-23) bimbingannya pada 2013 bagi memperbanyakkan pilihan mengisi kekosongan ditinggalkan kapten bersara, Safiq Rahim dan juga Amirulhadi Zainal.

Namun, perkembangan terbaru ini bermakna pengendali berusia 45 tahun itu perlu mencongak formasi menguatkan jentera tengah dengan menyandarkan kepada kelibat dua pemain senior Baddrol Bakhtiar dan Amri Yahyah, selain bekas kapten Harimau Muda Irfan Fazail dan Safawi Rasid.

Kim Swee akan mengumumkan senarai akhir pemain selepas perlawanan menentang Papua New Guinea di Stadium Shah Alam pada Isnin, 14 Oktober ini dan pasukan dijangka bertolak ke Yangon pada 16 November.

Harimau Malaysia akan berdepan Kemboja dalam aksi pembukaan Kumpulan B pada 20 November, diikuti Vietnam (23 November) dan tuan rumah Myanmar pada 26 November.

Pada edisi dua tahun lalu, Malaysia muncul naib juara setelah tewas kepada Thailand menerusi agregat 4-3 pada perlawanan akhir.   

- Advertisement -