Wan Zaharul Nizam Zakaria mahu memburu jaringan menentang Perak esok.
Wan Zaharul Nizam Zakaria mahu memburu jaringan menentang Perak esok.

PEMAIN sayap Kelantan, Wan Zaharul Nizam Zakaria tekad memburu jaringan dan membawa pulang tiga mata ketika berdepan Perak dalam aksi Liga Super di Stadium Perak malam esok.

Wan Zaharul Nizam, atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Kecik’ itu berkata, selepas mengharungi beberapa perlawanan bersama The Red Warriors (TRW), pemain itu mengakui sudah menemui keserasian, malah sedang berusaha mencari sentuan jaringan.

Kecik berkata, dia sedia menggunakan pengalaman beraksi di pentas antarabangsa untuk menewaskan Perak dan menyerap tekanan di gelanggang lawan.

“Keserasian sudah ada, cuma saya perlu memberikan persembahan terbaik setiap kali diberi kepercayaan berada dalam kesebelasan utama. Saya juga perlu mencari jaringan untuk meningkatkan keyakinan diri.

“Mungkin pengalaman saya bersama Harimau Muda A dan aksi di pentas antarabangsa memberi sedikit kelebihan, namun dalam perlawanan kita tetap mengharapkan kerjasama daripada rakan sepasukan,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu jurulatih Kelantan Steve Darby berkata, penyerang import, Francis Forkey Doe sudah pulih daripada kecederaan dan boleh diturunkan pada perlawanan malam ini.

Selain itu Darby berkata, dia juga sudah mengenal pasti kelebihan dan kelemahan pasukan Perak dan akan menggunakan pengalamannya ketika bersama pasukan itu untuk membawa pulang tiga mata.

“Saya lega apabila Forkey Doe sudah pulih 99 peratus dan dia boleh diturunkan malam esok. Saya mungkin memerlukannnya kerana pemain tengah, Mohamed Shawky Aly mengalami sedikit kecederaan di bahagian kening, namun dia sudah memberitahu saya dia tetap mahu bermain. Saya akan mempertimbangkan permintaannya”.

 

- Advertisement -