Tonggak tengah berpengaruh, Baddrol Bakhtiar mahu membantu juara Piala FA, Kedah memburu tahun 2018 yang lebih gemilang dan mengembalikan reputasi pasukan itu sebagai kuasa besar bolasepak tanah air sepertimana pernah dikecap pada musim 2007 dan 2008.
Menurut pemain berusia 29 tahun itu, “Sayang sekali kita gagal pertahankan Piala Malaysia, kemudian diberitahu bahawa tidak boleh beraksi di Piala AFC walaupun layak. Tetapi kejayaan menjulang Piala Sumbangsih dan Piala FA, layak ke final Piala Malaysia kali ketiga berturut-turut dan berada dalam kelompok empat terbaik Liga Super menunjukkan Kedah sentiasa mahu pencabar yang serius.
“Apapun, kita tidak boleh cepat berpuas hati, sudah tentu dengan apa yang telah kita capai tahun ini, sasaran bagi musim baru adalah untuk pergi lebih jauh dan menjadi lebih baik. Malah harapan penyokong juga pastinya tinggi dan saya percaya pengurusan akan sentiasa menambahbaik keperluan pasukan.
“Kehadiran semula jurulatih (Ramon Marcote) juga satu isyarat jelas bahawa Kedah bersedia untuk terus mengorak langkah,” kata Baddrol kepada pemberita selepas dinobatkan sebagai Pemain Tengah Terbaik dan Pemain Paling Bernilai Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2017 pada Jumaat.
Lebih manis, anugerah tersebut menyaksikan Lang Merah mendominasi dengan memenangi tujuh anugerah lain di mana Baddrol turut dinobatkan Penjaring Terbanyak Tempatan bagi Liga Super, Ifwat Akmal Chek Kassim dinobatkan Penjaga Gol Terbaik, manakala perancang tengah dari Kosovo Liridon Krasniqi memenangi anugerah Pemain Import Terbaik dan Pemain Paling Popular.
Selain itu, mereka turut memenangi anugerah Laman Sosial Terbaik, Penyokong Terbaik, dan melengkapkan malam gemilang adalah apabila pasukan Kedah diangkat sebagai Pasukan Terbaik ABK2017.
“Sudah begitu lama saya mengidamkan anugerah ini (MVP dan Pemain Tengah), terima kasih kepada semua yang telah menyokong perjalanan karier saya. Anugerah ini akan menjadi pemangkin dan pembakar semangat untuk saya bekerja lebih keras memberikan yang lebih baik,” katanya yang juga pemain kebangsaan.
ABK2017 turut mengiktiraf Matthew Davies dari Pahang sebagai Pemain Pertahanan Terbaik; Shahrel Fikri Fauzi dari PKNP (Penyerang Terbaik); Adam Nor Azlin yang mewakili Selangor musim ini sebagai Pemain Muda Harapan; pemain Kuantan FA, Abdul Malik Mat Arif (Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Premier); Mohamed Ghaddar (Penjaring Terbanyak Import Liga Super); dan Guilherme De Paula (Penjaring Terbanyak Import Liga Premier).
Pengendali Felda United, B.Satiananthan dinobatkan Jurulatih Terbaik manakala N.Thanabalan (Felcra) menerima Anugerah Mesra Media dan Anugerah Komuniti menjadi milik Sunny Shalesh (jurulatih skuad cacat penglihatan kebangsaan). OLEH MUHD AIMAN