Oleh Muhammad Aiman
Negeri Sembilan memanfaatkan sepenuhnya aksi menentang barisan kedua Felda United untuk melakar kemenangan 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi seterusnya mara mengiringi skuad bimbingan Irfan Bakti itu ke suku akhir Piala Malaysia.
Felda yang sudah pun mengesahkan kemaraan lebih awal, seperti dijangka merehatkan pemain tonggak mereka termasuk penjaga gol Farizal Harun serta trio import – Francis Forkey Doe, Lutfulla Turaev dan Zahrahan Krangar.
Menamatkan separuh masa pertama tanpa jaringan, tuan rumah menjaringkan dua gol pantas di babak kedua menerusi Goran Jerkovic (m-54) dan Nizam Roslan (m-58), membolehkan mereka mencatat kemenangan penting dan mengumpul 12 mata sekaligus muncul naib juara Kumpulan D.
Di sebalik tewas, Felda mengungguli saingan peringkat kumpulan – hanya dipisahkan menerusi beza jaringan – dan akan berdepan naib juara Kumpulan A, T-Team di suku akhir, manakala Negeri Sembilan yang muncul juara pada 2009 dan 2011 akan menentang finalis musim lalu Kedah.
Sementara itu, Kedah mengesahkan kedudukan selaku juara Kumpulan A setelah menjinakkan Sarawak 3-0 menerusi tiga jaringan di separuh masa kedua oleh Liridon Krasniqi, Thiago Augusto dan Bang Seung Hwan.
Kemenangan itu membolehkan Kedah mengumpul 13 mata, tiga mata mengatasi T-Team yang tewas 0-1 kepada JDT II di Pasir Gudang menerusi jaringan Amer Saidin pada minit ke-81.
Baki empat lagi perlawanan peringkat kumpulan akan berlangsung pada Sabtu, dengan Pahang akan berdepan Kelantan, Selangor berdepan Kuala Lumpur, PKNS menentang JDT dan Perak menentang PDRM.Â
Kelantan dan Selangor yang sudahpun mara ke suku akhir akan turun mencari kemenangan bagi menentukan kedudukan juara Kumpulan B, sementara Perak, PKNS, PDRM dan JDT kesemuanya masih mempunyai peluang seimbang untuk mara dari Kumpulan C. Â