Oleh Muhammad Aiman
Kedah memilih detik terbaik untuk meleburkan rekod tanpa kalah 15 perlawanan milik barisan berstatus bintang Johor Darul Takzim apabila mengejutkan juara Piala AFC itu 2-1 dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman.
Gol jaringan Sandro Da Silva pada penghujung separuh masa pertama menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan sekaligus menyaksikan Lang Merah membawa bekalan tipis satu gol bagi menghadapi aksi timbal balik di Larkin pada 30 April depan.
Beraksi di gelanggang sendiri dengan diiringi sorakan lebih 40,000 penyokong setia, Kedah bimbingan Tan Cheng Hoe berada di depan menerusi jaringan Farhan Roslan yang menyempurnakan hantaran Bang Seunghwan pada minit ke-14.
JDT bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-27 menerusi penyudah cantik Juan Martin Lucero, namun Sandro memastikan Harimau Selatan pulang berputih mata apabila melakukan rembatan leret jarak jauh yang gagal diselamatkan Farizal Marlias pada minit ke-44.
Dengan kemenangan ini, Kedah kini sebelah kaki untuk mara ke final buat pertama kali selepas lapan tahun. Kali terakhir Kedah beraksi di pentas final adalah pada 2008, yang mana mereka muncul juara setelah menewaskan Selangor 3-2 manakala JDT mengintai penampilan final kedua setelah muncul finalis pada 2013.
Kedah boleh menjangkakan aksi sukar untuk mempertahan kelebihan satu gol apabila bertandang ke Larkin tatkala pasukan kendalian Mario Gomez yang dihimpit jadual padat mengharungi 9 perlawanan dalam tempoh 30 hari sudah tentu tidak rela maruah dan reputasi mereka dicalar di bumi sendiri.