Oleh Muhammad Aiman
Kedah memanfaatkan sepenuhnya kekalahan pendahulu Liga Super, Pahang kepada Johor Darul Takzim untuk kembali melonjak ke tangga teratas setelah membelasah Melaka United 4-0 di Stadium Darul Aman, pada Sabtu.
Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe nyata terlalu kuat untuk disaingi pendatang baru Liga Super itu dengan dua jaringan masing-masing leh Ken Ilso Larsen dan Sandro Da Silva memastikan Lang Merah terus kekal sebagai satu-satunya pasukan belum tewas setelah lapan perlawanan.
Tiga mata yang diraih menyaksikan Kedah ketika ini memimpin carta liga dengan 18 mata, dua mata mengatasi Pahang manakala JDT yang beraksi kurang satu perlawanan mengekori di tangga ketiga dengan 14 mata.
Sementara itu, Perak kembali ke landasan kemenangan setelah menewaskan tuan rumah, Selangor 1-0 di Stadium Selayang dan melonjak ke tangga keempat dengan 14 mata.
Ia juga adalah kemenangan pertama buat Mehmet Durakovic sejak mengambil alih tugas dari Karl Heinz Weigang dengan jaringan tunggal perlawanan dihasilkan Zaquan Adha Abdul Razak pada minit ke-67 menerusi sepakan penalti.
Di Kota Bharu, penyerang import sensasi, Mohamed Ghaddar terus mencuri tumpuan apabila meledak hatrik kedua dalam tempoh empat hari untuk membantu tuan rumah Kelantan menewaskan T-Team 4-2.
Ghaddar yang muncul wira ketika menewaskan Perak pada Rabu lalu dengan jaringan hatrik, beraksi cemerlang apabila meledak pada minit ketujuh, 69 dan 83 sekaligus membolehkan Kelantan melakar kemenangan pertama di gelanggang sendiri setelah tewas tiga perlawanan berturut-turut kepada Kedah, Melaka dan Selangor sebelum ini.
Ia adalah jaringan kesembilan penyerang dari Lubnan itu musim ini. Satu lagi jaringan buat skuad Zahasmi Ismail disumbangkan Khairul Izuan Rosli manakala T-Team membalas menerusi Norhakim Hassan dan Farhod Tadjiev.
Felda United pula melonjak empat anak tangga ke kedudukan ketujuh setelah melakar kemenangan pertama dalam tujuh perlawanan liga dengan menewaskan Sarawak 2-0 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.Â
The Fighters kemarau kemenangan sejak kemenangan pada hari pembukaan ke atas PKNS FC, dan jaringan oleh Lucas Cano serta Hadin Azman di separuh masa kedua perlawanan menghadiahkan B.Sathianathan tiga mata pertamanya musim ini.
Di Shah Alam, jaringan Nigel Dabinyaba di separuh masa kedua membantu Pulau Pinang mengikat tuan rumah, PKNS FC seterusnya meraih mata kedua mereka musim ini.
PKNS terlebih dahulu di depan menerusi jaringan Patrick Ronaldinho pada minit ke-28 namun ketumpulan penyudah menyaksikan tiada tambahan jaringan terhasil sekaligus kemarau kemenangan skuad E.Elavarasan melebar kepada lima perlawanan. Â
Aksi liga akan berhenti rehat selama lebih sebulan bagi memberi laluan kepada saingan Piala FA dan juga persiapan skuad kebangsaan menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019.