Kedah memulakan misi mempertahankan trofi Piala Malaysia dengan langkah kanan setelah membenam cabaran Melaka United 2-0 dalam aksi Kumpulan C pada Selasa.
Dalam aksi berlangsung di Stadium Darul Aman itu, gol jaringan Sandro Mendonca Da Silva pada minit ke-29 serta Baddrol Bakhtiar pada minit ke-63 membolehkan skuad bimbingan Nidzam Adha Yusoff mengutip tiga mata.
Satu lagi aksi Kumpulan C menyaksikan Kelantan menundukkan Uitm FC 3-1 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu untuk melonjak selaku pendahulu.
Khairul Izuan Rosli menjaringkan dua gol pada minit ke-42 dan 62 sebelum Abou Bakr menambah jaringan ketiga pada masa kecederaan buat skuad bimbingan Zahasmi Ismail.
Gol tunggal Uitm FC dijaringkan oleh pemain import Akani Sunday pada minit ke-51.
Dalam aksi Kumpulan D, nasib berbeza dialami finalis musim lalu yang juga juara 33 kali, Selangor apabila mereka diikat 1-1 oleh Terengganu di Stadium Selayang.
Red Giants mendahului pada minit ke-43 menerusi sentuhan Rufino Segovia namun sang penyu berjaya mencuri satu mata menerusi jaringan Issey Nakajima pada minit ke-63.
Pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim pula melonjak ke kedudukan teratas setelah beraksi garang membelasah Sarawak 4-0 di Stadium Larkin dengan gol dijaringkan oleh Marcos Antonio (m-12), Gabriel Guerra (m-27, 73) dan Natxo Insa (m-84).
Di Kuala Terengganu, pasukan Liga Premier, PKNP FC membawa pulang tiga mata setelah mengejutkan pasukan Liga Super, T-Team 2-1 seterusnya mengungguli Kumpulan A.
Ketua pasukan, Shahrel Fikri muncul wira dengan menjaringkan dua gol pada minit ke-23 dan 52 manakala gol tunggal T-Team dijaringkan oleh pemain import Mahamadou Samassa (m-51).
Satu lagi aksi di Stadium Darul Makmur menyaksikan Pahang dan Negeri Sembilan mencatat keputusan seri 2-2.
Skuad Negeri Sembilan bimbingan Asri Ninggal mendahului pada minit ke-45 menerusi Jonathan Behe sebelum Tok Gajah bangkit menjadikan kedudukan 2-1 menerusi dua gol Matheus Alves pada minit ke-59 dan 65.
Lee Tuck memastikan sang rusa pulang dengan satu mata setelah menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-77.
Perak pula muncul pendahulu Kumpulan B setelah menundukkan PKNS FC 2-0 di Stadium Ipoh hasil jaringan Thiago Junior (m-71) dan Gilmar Filho (m-80) tatkala Felda United dan Kuala Lumpur berkongsi satu mata setelah mencatat keputusan seri tanpa jaringan di Jengka. – OLEH MUHAMMAD AIMAN