Pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) menterjemahkan karakter sang juara apabila melakar kemenangan besar 6-1 ke atas T-Team di tempat lawan tatkala Kedah dan Pahang turut mencatat kemenangan penting bagi memastikan cabaran memburu kejuaraan terus bernyala biarpun dilihat tipis.
Dalam aksi di Kuala Terengganu, JDT beraksi garang mendahului 3-0 di separuh masa pertama menerusi jaringan Gabriel Guerra (m-23), Mohamad Ghaddar (m-41) dan S.Kunanlan sebelum menambah tiga lagi jaringan di separuh masa kedua sekali lagi hasil sentuhan Guerra (m-59), Fadhli Shas (m-78) dan Gonzalo Cabrera (m-81).
Yannick Ndjeng menjaringkan gol saguhati buat tuan rumah setelah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-85.
Dengan kemenangan ini, JDT mengumpul 42 mata, kekal mendahului Kedah dengan kelebihan 11 mata di tangga teratas sekaligus semakin menghampiri kejuaraan keempat Liga Super berturut-turut dengan berbaki hanya lima perlawanan untuk ditamatkan.
Kedah pula menambah derita Pulau Pinang di Stadium Batu Kawan apabila melakar kemenangan 2-0 menerusi jaringan Ken Ilso Larsen (gambar utama) pada minit ke-62 dan Baddrol Bakthiar pada minit ke-74.
Ia kemenangan kelapan buat Lang Merah kendalian Nidzam Adha Yusoff manakala buat Pulau Pinang bimbingan Zainal Abidin Hassan, ianya kekalahan ke-12 mereka musim ini sekaligus kekal di tangga tercorot dengan hanya enam mata.   Â
Di Stadium Darul Makmur, Pahang turut mencatat kemenangan 2-0 ke atas Melaka dalam aksi pertama tanpa kelibat jurulatih Dollah Salleh yang digantung selama 18 bulan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana mengkritik pengadil.
Gol buat skuad tok gajah dijaringkan Yamil Romero seawal minit kelima dan Mohamadou Sumareh menambah jaringan kedua pada minit ke-53, membolehkan mereka kekal di tangga ketiga dengan 30 mata.
Selangor kembali melonjak ke tangga keempat liga dengan 27 mata setelah jaringan tunggal Amri Yahyah pada minit ke-20 membantu mereka menewaskan pasukan bermasalah, Kelantan 1-0 di Stadium Selayang.
Dalam aksi di Stadium Shah Alam, Perak menundukkan Felda United 1-0 menerusi jaringan penalti tunggal Yashir Pinto pada minit ke-12 dan menghuni tangga kelima dengan 27 mata.
Manakala PKNS FC pula melonjak ke tangga kelapan dengan 18 mata setelah menundukkan Sarawak di Kuching menerusi jaringan Alif Haikal pada minit ke-69. – OLEH MUHAMMAD AIMAN