Oleh Muhammad Aiman
Kedah membenam Perak 3-1 di Alor Star dan memerlukan hanya satu mata sahaja lagi dari baki dua perlawanan terakhir untuk menamatkan musim di tempat ketiga Liga Super.
Aksi di Stadium Darul Aman menyaksikan dua jaringan Shane Schmeltz pada minit ke-7 dan 59 serta gol minit akhir Thiago Augusto menghadiahkan Kedah kemenangan kesembilan mereka musim ini tatkala Perak menjaringkan gol saguhati menerusi Thiago Junior pada minit ke-82.
Tiga mata yang diraih skuad bimbingan Tan Cheng Hoe menyaksikan mereka mengukuhkan kedudukan di tempat ketiga dengan 34 mata, enam mata mengatasi pasukan tangga keempat, Selangor yang terus mencicirkan mata setelah kecundang 0-1 kepada Pahang.
Di Shah Alam, kemarau kemenangan Selangor melebar kepada tujuh perlawanan apabila tewas mengejut kepada skuad bimbingan Razip Ismail itu yang menduduki tangga tercorot.
Gol tunggal Pablo Andres Vranjican pada minit ke-37 memadai buat Pahang mencatat kemenangan pertama dalam tujuh perlawanan namun tetap kekal di kedudukan tercorot dengan mengumpul 17 mata, dua mata di belakang Terengganu dan Pulau Pinang.
T-Team pula melonjak ke tangga kelima setelah mengejutkan pasukan tangga kedua, Felda United 3-2 di gelanggang sendiri.
Aksi berbalas jaringan antara kedua-dua pasukan menyaksikan tuan rumah terlebih dahulu di depan menerusi Dilshod Sharafetdinov pada minit ke-29 sebelum Felda mengikat kedudukan 1-1 hasil jaringan Hadin Azman.
T-Team kembali di depan menerusi Makan Konate pada minit ke-68 tetapi Felda tidak menunggu lama untuk menjadikan kedudukan 2-2 menerusi Abdul Shukor Jusoh namun hasrat Felda membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata tidak kesampaian setelah Dilshod menyempurnakan penalti 15 minit sebelum tamat perlawanan.
Kekalahan bagaimanapun tidak mengugat kedudukan Felda yang sudahpun mengesahkan kedudukan selaku naib juara dengan mengumpul 42 mata.
Sementara itu, Kelantan tergelincir ke tangga keenam setelah sekadar mampu mencatat seri 1-1 menentang Sarawak di Kuching. Gol jaringan Wan Zaharulnizam menyelamatkan satu mata buat The Red Warriors yang ketinggalan seawal minit pertama kepada jaringan Junior Aparecido.
Manakala Pulau Pinang pula menghidupkan peluang untuk terus kekal dalam saingan Liga Super musim depan apabila melonjak satu anak tangga meskipun sekadar mampu seri 1-1 menentang PDRM di Stadium Bandaraya.
Jaringan penyerang kebangsaan, S.Kumaahran pada minit ke-32 membolehkan Pulau Pinang berkongsi satu mata setelah PDRM mendahului 10 minit sebelum itu menerusi pemain B-22 negara Fakrul Aiman Sidid.