Oleh Muhammad Aiman
Tatkala juara bertahan Johor Darul Takzim dan Felda United terus bersaing sengit memburu kejuaraan Liga Super setelah merakam kemenangan selesa dalam aksi ke-18 pada Selasa, Kedah pula memanfaatkan kegagalan Selangor mengutip mata penuh untuk melonjak ke tangga ketiga.
JDT mengekalkan kelebihan empat mata di tangga teratas setelah membelasah PDRM 4-0 di Larkin, menerusi dua jaringan masing-masing oleh Juan Lucero dan Jorge Pereyra Diaz, manakala Felda pula terus mengekori di tangga kedua setelah menewaskan Pahang 3-0 di Kuantan, hasil jaringan Zahrahan Krangar, Shukor Adan dan Forkey Doe.
Di sebalik pertarungan dua penjuru JDT dan Felda, saingan antara Kedah, Selangor dan Kelantan untuk merebut tempat ketiga juga semakin rancak dan menarik.
Jaringan sendiri Tommy Mawat dan penalti Liridon Krasniqi membantu Kedah bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Sarawak 2-1 di Darul Aman, sekaligus mencatat kemenangan ketiga berturut-turut.
Tiga mata yang diraih menyaksikan skuad Tan Cheng Hoe mengumpul 28 mata, dan menolak Selangor yang sekian lama ‘selesa’ di kedudukan ketiga jatuh ke tangga keempat sekaligus menghidupkan peluang untuk menamatkan musim di kedudukan liga terbaik mereka sejak 2009.
Di Shah Alam, Selangor yang beraksi perlawanan liga pertama mereka sejak Zainal Abidin Hassan dipecat, mengharungi perlawanan kelima berturut-turut tanpa kemenangan apabila sekadar mampu mencatat keputusan seri 1-1 menentang pasukan bermasalah, Terengganu.
Jaringan lewat pemainan Andik Vermansyah membantu skuad bimbingan K.Gunalan memadam kelebihan Terengganu yang mendahului menerusi jaringan Ashaari Samsudin seterusnya menyelamatkan satu mata berharga di gelanggang sendiri.
Gergasi merah kuning kini mengumpul 27 mata, hanya tiga mata mengatasi pasukan tangga kelima Kelantan yang meneruskan revolusi mereka di bawah bimbingan Velizar Popov dengan menundukkan Pulau Pinang 3-2 di Stadium Bandaraya.
Harimau Kumbang yang merupakan satu-satunya pasukan Liga Super tidak beraksi di Piala Malaysia, dua kali bangkit menyamakan kedudukan untuk keputusan seri 2-2 di babak pertama – Wan Zack Haikal dan Wander Luiz menjaringkan gol buat Kelantan manakala Mathias Jesus dan Ranti Martins menyumbang gol buat Pulau Pinang.
Hasrat Pulau Pinang melebarkan rekod tanpa kalah kepada enam perlawanan bagaimanapun tidak kesampaian apabila Wan Zack meledak jaringan kedua peribadinya setelah menyempurnakan hantaran kapten pasukan, Badhri Radzi pada minit ke-77 sekaligus menyaksikan Kelantan turut mengintai ruang menamatkan musim di kedudukan tiga terbaik.
Perak pula tergelincir ke tangga keenam setelah mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang T-Team di Ipoh.