Oleh Muhammad Aiman
Kedah bersedia menambah derita Selangor yang tidak menang dalam lima perlawanan terakhir, dan tewas tiga perlawanan berturut-turut apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi ke-17 Liga Super malam esok.
Jurulatih Lang Merah, Tan Cheong Hoe percaya skuad gergasi merah kuning sedang mengalami krisis keyakinan susulan prestasi buruk ketika ini dan situasi ini memberikan pasukannya sedikit kelebihan.
“Kami perlu mengambil kesempatan dari situasi ini, Selangor sedang melalui saat-saat sukar untuk mengembalikan prestasi ke tahap terbaik, beberapa keputusan buruk sebelum ini sudah tentunya menganggu fokus mereka dan kita perlu mengerah aksi terbaik untuk mengutip tiga mata,” ujar Cheng Hoe.
Menambah motivasi Lang Merah, kemenangan 1-0 ke atas Pahang pada Rabu lalu membantu mereka melonjak ke tangga keempat dengan 22 mata, hanya empat mata di belakang Selangor meskipun skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan itu sebelum ini selesa dengan kelebihan sembilan mata di tangga ketiga.
Justeru kemenangan ke atas Selangor pada Sabtu akan mengukuhkan peluang Kedah untuk terus memburu peluang menamatkan musim di tempat ketiga – kedudukan terbaik mereka dalam Liga Super sejak 2009.
Perlawanan di Stadium Darul Aman malam esok akan menyasikan Kedah sekali lagi turun tanpa pemain pinjaman dari Felda United, Thiago Augusto Fernandez yang mengalami kecederaan tetapi perkhabaran ceria mendapat semula khidmat Liridon Krasniqi yang sebelum ini menjalani penggantingan perlawanan.
Manakala Zainal, selain kehilangan khidmat Andik Vermansyah, dia turut berdepan masalah besar bagaimana mahu mengasah ketumpulan sentuhan penyudah pasukannya yang kurang menyengat sejak awal musim.
“Kita perlu ingat Selangor tetap mempunyai pemain yang lebih baik dari kami. Walaupun tidak dalam prestasi baik, mereka kini berdepan tekanan dan pastinya mahu bangkit semula selepas mengalami kekalahan demi kekalahan.
“Kami saling mengenali corak permainan masing-masing dengan baik, kami menerapkan permainan serangan yang lebih kurang sama. Pertahanan mereka sedikit goyah sekarang dan untuk menang adalah penting semua peluang disempurnakan dengan baik,” tambah Cheng Hoe.
Untuk rekod, ketika di pusingan pertama yang berlangsung di Shah Alam, kedua-dua pasukan mencatat keputusan seri 2-2 manakala pada tahun lalu, Selangor menjulang Piala Malaysia buat kali ke-33 setelah menewaskan Kedah 2-0 pada perlawanan akhir.