Oleh Muhammad Aiman
Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan khidmat Nidzam Adha Yusoff sebagai ketua jurulatih seandainya prestasi ditunjukkan skuad Lang Merah memberangsangkan.
Nidzam yang merupakan penolong jurulatih Kedah, mengambil alih tugas ditinggalkan ketua jurulatih terdahulu, Tan Cheng Hoe buat kali pertama ketika aksi separuh akhir pertama Piala FA menentang Terengganu pada Ahad lalu.
Kedah menang perlawanan itu dengan gol tunggal Farhan Roslan memastikan mereka membawa bekalan tipis untuk aksi timbal balik.
Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata Nidzam yang pernah menyarung jersi pasukan itu pada era 1990-an akan diberikan peluang wajar dan kepercayaan untuk membuktikan kredibilitinya sebelum mereka membuat keputusan mengenai pelantikan jurulatih baru.
“Kita akan lihat dulu, kita akan nilai prestasi Nidzam kerana beliau sudah lama melatih pasukan ini bersama Tan Cheng Hoe, jadi beliau tahu mengenai pasukan dan mempunyai momentum yang diperlukan. Ketika menentang Terengganu tempoh hari, kita nampak ada peningkatan jadi kalau terus menunjukkan kecemerlangan, tiada masalah kita lantik dia untuk jawatan itu.
“Saya tidak nafikan kita juga ada tiga calon baru yang sedang dipertimbang. Tapi kita masih ada beberapa perlawanan lagi sebelum Ramadan. Kita memerlukan Nidzam ketika ini kerana dia sudah serasi bersama pemain dan selepas itu kita tengok apa yang perlu dibuat. Ada banyak perkara perlu diteliti,” kata Ahmad Bashah.
Sejak Tan Cheng Hoe dilamar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menjadi penolong jurulatih skuad kebangsaan pada awal April baru-baru ini, banyak nama dikaitkan untuk menggantikannya termasuklah bekas pengendali Azraai Khor Abdullah dan Ramon Marcote yang pernah membimbing Kedah mara sehingga ke final Piala Malaysia 2015.