Oleh Muhammad Aiman
Kem The Red Giants menerima perkhabaran ceria menjelang aksi final Piala Malaysia menentang Kedah pada 30 Oktober depan, apabila mendapat semula sentuhan pemain import dari Argentina Mauro Olivi yang dilaporkan sudah pulih dari kecederaan.
Pemain berusia 33 tahun itu tersisih lebih sebulan sejak mengalami kecederaan betis ketika perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia menentang PKNS Selangor pada 17 September lalu justeru kehadiran semulanya memberi lebih pilihan kepada pengendali K.Gunalan.
“Olivi sudah lama tersisih. Dalam tempoh itu pemain-pemain yang saya turunkan semuanya telah tunjukkan prestasi baik. Saya akan beri peluang untuk dia mendapatkan suasana perlawanan dengan menurunkannya pada perlawanan terakhir Liga Super menentang JDT Sabtu ini sebelum buat keputusan seterusnya,” ujar Gunalan.
Perlawanan pada Sabtu ini, pada hakikatnya tidak membawa sebarang makna buat kedua-dua JDT dan Selangor – JDT sudahpun mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali ketiga berturut-turut, tidak tercabar di tangga teratas dengan 55 mata manakala Selangor ketika ini di kedudukan kelima dengan 28 mata.
Begitupun, Gunalan dijangka menggunakan perlawanan itu untuk mendapat gambaran lebih jelas mengenai kesebelasan utama yang akan diturunkan apabila menentang Kedah nanti, dalam misi mempertahankan Piala Malaysia seterusnya mendakap piala berprestij itu buat kali ke-34.
Red Giants menundukkan T-Team 3-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Sabtu lalu menerusi jaringan R.Gopinathan, Ugochukwu Ukah dan Andik Vermanshah sekaligus membolehkan mereka melangkah ke perlawanan akhir dengan agregat 5-1.
Perlawanan menentang Lang Merah adalah ulangan final musim lalu, di mana ketika itu Selangor bimbingan Mehmet Durakovic muncul juara buat kali ke-33 hasil kemenangan 2-0 menerusi dua jaringan Ahmad Hazwan Bakri di Stadium Shah Alam.