Pengendali skuad B-22 kebangsaan, Dato’ Ong Kim Swee terpaksa membuat keputusan berat menggugurkan nama penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi dari senarai 22 pemain yang dibawa ke Jelajah China bermula esok berikutan kecederaan patah tangan dialami pemain Piala Presiden Kelantan itu.
Syihan mengalami kecederaan setelah bertembung dengan pemain import Felda United dalam aksi persahabatan di Wisma FAM pada Selasa yang berkesudahan seri 1-1 sekaligus merencatkan perancangan Kim Swee yang sedang giat mempersiapkan pasukannya untuk menghadapi Kelayakan AFC B-23 di Bangkok pada Julai dan disusuli Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.
Bagaimanapun pengendali berusia 47 tahun itu cuba untuk tidak panik dengan situasi melanda kerana tanpa pemain berusia 21 tahun itu yang disebut-sebut sebagai pilihan utama menyarung jersi nombor satu skuad negara, dia masih mempunyai tiga lagi penjaga gol untuk diuji iaitu Ifwat Akmal Che Kassim (Kedah), Amirul Hakimi (Terengganu) dan Haziq Nadzli (JDT).
“Memang ketiadaan Syihan beri kesan, tetapi kita perlu pandang ke depan. Saya tidak pasti apakah dalam tempoh masa yang tinggal Syihan boleh pulih untuk misi KL 2017 tetapi buat masa ini kita biarkan dia menjalani pemulihan dan kita akan tengok nanti.
“Saya akan berbincang dengan staff kejurulatihan untuk memanggil seorang lagi penjaga gol ke kem latihan sebaik pulang dari China nanti,” kata bekas pengendali skuad senior Harimau Malaya itu.
Selain Syihan yang pernah mencuri tumpuan menyelamatkan sepakan penalti Palestin setelah masuk sebagai penjaga gol gantian skuad senior kebangsaan pada 2013, turut digugurkan pemain meningkat naik, Danial Ashraff Abdullah (Kelantan), Ariff Farhan Md Isa (Kedah) dan Raphi Azizan (PJ Rangers) – semuanya kerana kecederaan dialami ketika menentang Felda.
Ini menyaksikan senarai pemain B-22 yang tersisih akibat kecederaan semakin memanjang dengan Kim Swee sebelum ini sudah sedia kehilangan khidmat pemain tengah, Ahmad Khairil Anuar Zamri (Perak), Nur Syamie Iszuan (Sarawak) dan Ahmad Azriddin Rosli (Felda United).
Pasukan B-22 negara akan berlepas ke Xiangtan pada Khamis dan mengharungi tiga aksi persahabatan menentang skuad B-22 China (10 Jun), skuad simpanan Guangzhou R&F (13 Jun) dan skuad simpanan Guangzhou Evergrande (15 Jun) sebelum pulang ke tanah air pada 16 Jun dan meneruskan latihan pusat di Wisma FAM sehingga 23 Jun. – OLEH MUHAMMAD AIMAN