Selepas dua hari persaingan sengit, pusingan akhir Kejohanan Tiga Saga Li-Ning Cup (Pertandingan Badminton 3 lawan 3) berakhir dengan cemerlang pada hujung minggu lalu. Para pemenang bagi kelima-lima kategori yang dipertandingkan telah dinobatkan, dan kejohanan ini berjaya menarik perhatian dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM388,800.
Kejohanan yang berlangsung di Sunway Velocity Mall, Kuala Lumpur ini menyaksikan para pemain terbaik dari zon Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan Selangor bertarung dalam pusingan akhir selepas melepasi pusingan kelayakan. Pertandingan ini menawarkan hadiah yang lebih lumayan di peringkat akhir.
Dalam kategori Tiga Saga Lelaki Terbuka Gabungan Umur Bawah 120, pasukan Synergy BA yang terdiri daripada Soo Jun Jien, Mohd Farid bin Naslim, Helmie Zulhaidee Bin Zulman, dan Ahmad Zaid Bin Zainal berjaya merangkul kejuaraan dengan menewaskan pasukan FMK (Faiz bin Rozain, Jeremy Kho Shyang, Ng Junyan, dan Mohamad Faris Zaim Bin Abdul Khalid) dengan skor 30-26 dalam perlawanan akhir.
Synergy BA dianugerahkan wang tunai RM10,000 serta produk bernilai RM12,000, manakala FMK sebagai naib juara menerima RM8,000 dan produk bernilai RM10,000. Dalam kategori Tiga Saga Lelaki Bakat Baru, pasukan SPARTA yang dibarisi Wong Wen Kuang, Ku Wilson, Tang Chye Fong, dan Chan Mun Loong berjaya menewaskan MEBT (Tan Soon Kiat, Wong Kin Loon, Seow Soon Siang, dan Ng Boon Zheng) dengan keputusan tipis 30-29.
SPARTA memenangi hadiah wang tunai RM8,000 dan produk bernilai RM10,000, manakala pasukan MEBT selaku naib juara menerima RM6,000 serta produk bernilai RM8,000.
Pasukan Muar Stars (Tan Chew Ping, Sim Han Min, Tan Khim Lim, dan Quah Aan Yang) pula berjaya muncul juara dalam kategori Tiga Saga Campuran Amatur setelah menewaskan pasukan SPARTA (Ng Chi Cherng, Tan Kian An, Oeng Siew Hui, dan Ng Chi Wei) dengan skor 30-28.
Muar Stars menggondol wang tunai RM8,000 bersama produk bernilai RM10,000, sementara SPARTA sebagai naib juara memperoleh RM6,000 serta produk bernilai RM8,000.
Dalam kategori Perseorangan Lelaki Bawah 12 Tahun, Yeoh Zhen Hao berjaya mengalahkan Shahadzryl bin Suhaime dengan skor 30-21 dalam perlawanan akhir, sekaligus menerima RM2,000 wang tunai dan produk bernilai RM2,000.
Bagi kategori Perseorangan Wanita Bawah 12 Tahun, Ng Yun Xi dinobatkan sebagai juara selepas mencatat kemenangan head-to-head ke atas Ivy Liau Xin Yi dengan skor 30-24, walaupun kedua-dua pemain mempunyai rekod dua kemenangan dan satu kekalahan. Ng Yun Xi memperoleh RM2,000 serta produk bernilai RM2,000.
Pengurus Besar Sunlight Group of Companies, Encik Simon Soh berkata: , “Kejohanan ini telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dan dihadiri pemain berbakat dari seluruh negara. Ia menjadi platform terbaik untuk mengasah bakat baru, terutamanya prestasi cemerlang daripada para pemain muda.”