Kapten Johor Darul Takzim, Hariss Harun menghamburkan kata-kata pujian kepada rakan sepasukan yang disifatkan tidak sedikitpun hilang kepercayaan ketika mereka bangkit melakar kemenangan 2-1 ke atas Perak pada Selasa dan mengesahkan kejuaraan Liga Super 2018 menjadi milik mereka.
JDT menjaringkan dua gol dalam sembilan minit menerusi Hariss dan Safawi Rasid setelah terdahulu ketinggalan kepada jaringan Norhakim Hassan, sekaligus bukan sahaja muncul juara buat musim kelima berturut-turut tetapi menjadi pasukan pertama dari Malaysia menempah slot beraksi di Liga Juara-Juara Asia (ACL).
 âApabila pasukan sedang ketinggalan, kami perlukan pemain yang tidak sesekali mengalah dan kekal bersatu untuk merubah keputusan perlawanan, dan itulah yang kami lakukan.
âKami mempunyai kepercayaan boleh melakukannya, semuanya datang daripada perwatakan yang telah kami bina di dalam pasukan ini sejak beberapa musim lalu dan ia turut sama memberi impak kepada pemain-pemain muda dan baru di dalam pasukan ini,â ujar Hariss.
Kejayaan terbaru JDT ini membuktikan betapa kelas mereka sangatlah sukar digugat, dan bayangkan ianya dicapai di sebalik beberapa kemelut yang melanda kem mereka tahun ini.
Bermula dengan episod Jorge Pereyra Diaz âlariâ dari hotel pasukan di waktu tengah malam, kemudian Ulises Morais pula melepaskan jawatan atas alasan keluarga lantas membawa kepada pelantikan Raul Longhi sebagai pengendali. Â Â Â
Harimau Selatan terus mencuri tumpuan apabila menggugurkan Harry Novillo dan Jorge Santos hanya selepas tiga perlawanan kerana gagal untuk menyerlah namun bertindak lebih bijak dalam urusniaga seterusnya menerusi kemasukan dua pemain dari Argentina iaitu Fernando Marquez dan Fernando Elizari yang berjaya membawa impak segera.
Dengan kejuaraan sudah disahkan, JDT selepas ini berkemungkinan besar akan membuat penggiliran pemain dan menurunkan pemain-pemain yang jarang beraksi dalam baki empat aksi Liga Super yang seterusnya menentang Kedah (13 Julai), Kelantan (17 Julai), PKNP FC (21 Julai) dan Kuala Lumpur (27 Julai). – OLEH MUHAMMAD AIMAN