Empat tahun tanpa kemenangan dalam kategori perdana Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS, namun pelumba berpengalaman Ahmad Fazli Sham tidak pernah kenal erti putus asa.

Pada Pusingan 6 yang berlangsung di Litar Utara Sepang semalam, pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Team membuktikan usia bukan penghalang dengan adanya azam dan semangat yang kental.

Fazli yang telah mengumumkan persaraannya dari dunia persaingan Cub Prix pada tahun 2019, kembali beraksi dalam Pusingan 4 musim ini apabila dipanggil oleh pasukan ONEXOX TKKR SAG Team untuk menggantikan Nazirul Izzat Bahauddin yang terpaksa menarik diri akibat kecederaan di tangan.

Pada perlumbaan Pusingan 6 di Litar Utara Sepang tempoh hari, pengalaman Fazli sebagai seorang pelumba yang sudah mengharungi pelbagai situasi kompetitif semakin menyerlah. Fazli bijak mengawal keadaan dalam situasi kucar-kacir perlumbaan sepanjang 11 pusingan CP150.

Memulakan perlumbaan dari barisan kedua, Fazli muncul di petak pertama dalam pusingan kedua dan berjaya membimbing kelompok pertama dalam lima daripada 11 pusingan.

Pada pusingan terakhir, Fazli mengekori rapat di belakang rakan sepasukan Mohd Muzakkir Mohamed sehingga ke selekoh terakhir dan berjaya memintas Muzakkir pada saat-saat terakhir untuk mencatat kemenangan pertamanya musim ini dengan catatan masa 14’36.045s

“Keputusan dari Pusingan 5 menunjukkan bahawa kami memerlukan strategi baharu untuk menyekat kemaraan Helmi Azman dan Azroy Hakeem Anuar dari terus mendominasi kategori CP150. Pada pertengahan perlumbaan tadi, saya sudah mula mengintai ruang untuk menyelinap. Saya berasa puas hati strategi pasukan kami menjadi di Pusingan 6,” kata Fazli.

Kegembiraan pasukan ONEXOX TKKR SAG Team berlipat-ganda apabila Mohd Muzakkir Mohamed turut menaiki podium CP150 di tempat kedua.

Mohd Helmi Azman dari pasukan Hi Rev SCK Honda Racing menamatkan perlumbaan di tempat ke-tiga dan

Menyamai kedudukan Azroy Hakeem Anuar di tangga teratas kejuaraan dengan 107 mata masing-masing.

Sementara itu, Mohd Syafiq Rosli yang mewakili pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-Maju Motor sekali lagi mencipta kejayaan di Litar Utara Sepang dengan kemenangan kedua berturut-turut dalam kategori CP125. Kemenangan tersebut dicatat dengan masa 11’27.056s.

Tempat kedua dimenangi Mohd Adib Rosley dari pasukan IPONE Yamaha YY Pang Racing Team manakala Abdul Muhaimin Roslan menduduki tempat ke-3.

Manakala dalam kategori Wira KBS, Mohd Aeiman Hafidz Shahril dari pasukan ONEXOX Racing Team turut menyambar kemenangan kedua berturut-turut dengan catatan masa 8’37.896s.

Kemenangan ketiga musim ini membolehkan Aeiman merapatkan jurang dengan pendahulu kejuaraan Rahimi Nabil Razu (PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing).

Dengan berbaki dua pusingan sebelum tamatnya musim 2020, hanya 14 mata kejuaraan membezakan kedudukan Aeiman di tangga kedua dengan Rahimi di tangga teratas.

Keputusan Pusingan 6

CP150

1. Ahmad Fazli Sham (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team) 14’36.045s

2. Mohd Muzakkir Mohamed (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team) 14’36.082s

3. Mohd Helmi Azman (Honda, Hi Rev SCK Honda Racing) 14’36.138s

4. Izam Ikmal Izamli (Honda, Hi Rev SCK Honda Racing) 14’36.609s

5. Mohd Aiman Tahiruddin (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing) 14’36.645s

 

CP125

1. Mohd Syafiq Rosli (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha-Maju Motor) 11’27.056s

2. Mohd Adib Rosley (Yamaha, IPONE Yamaha YY Pang Racing Team) 11’27.097s

3. Abdul Muhaimin Roslan (Yamaha, ONEXOX Racing Team) 11’27.277s

4. Mohd Shafiq Rasol (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team) 11’27.705s

5. Ahmad Syukran Aizat Mohd Yusoff (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ) 11’27.927s

 

WIRA KBS

1. Mohd Aeiman Hafidz Shahril (Yamaha, ONEXOX Racing Team) 8’37.896s

2. Rahimi Nabil Razu (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing) 8’37.901s

3. Mohd Harith Haziq Zamri (Yamaha, Castrol Power1 Racing Team) 8’40.382s

4. Mohd Hazim Mohd Fairues (Honda, Elf Koyoko Honda KC Racing) 8’44.875s

5. Mohd Farish Iqmal Khayrul Elyas (Honda, Elf Koyoko Honda KC Racing) 8’44.876s

 

Kedudukan Pelumba 

CP150

1. Azroy Hakeem Anuar (Honda, Idemitsu Honda Yuzy Racing) 107 points

2. Mohd Helmi Azman (Honda, Hi Rev SCK Honda Racing) 107 points

3. Mohd Aiman Tahiruddin (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing) 67 points

4. Mohd Muzakkir Mohamed (Yamaha, ONEXOX TKKR SAG Team) 58 points

5. Mohd Khairul Ikhwan Ajis (Yamaha, AHM Motorsports Yamaha Racing) 52 points

 

CP125

1. Mohd Syafiq Rosli (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha-Maju Motor) 106 points

2. Mohd Shafiq Rasol (Yamaha, ONEXOX TKKR SAG Team) 87 points

3. Mohd Adib Rosley (Yamaha, IPONE Yamaha YY Pang Racing Team) 79 points

4. Mohd Hafiza Rofa (Yamaha, ONEXOX TKKR SAG Team) 73 points

5. Mohd Syafieq Aiman Mohd Fauzi (Yamaha, ONEXOX SAG Team) 63 points

 

WIRA KBS

1. Rahimi Nabil Razu (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing) 118 points

2. Mohd Aeiman Hafidz Shahril (Yamaha, ONEXOX SAG Team) 104 points

3. Mohd Izzat Raduan (Yamaha, ONEXOX SAG Team) 68 points

4. Mohd Norhakim Norhafizullah (Yamaha, ONEXOX SAG Team) 61 points

5. Mohd Harith Haziq Zamri (Honda, Castrol Power1 Racing Team) 59 points

- Advertisement -