Pasangan beregu lelaki nombor tiga negara, Chooi Kah Ming-Low Juan Shen menerima kejutan besar apabila mendapat lampu hijau dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk beraksi di Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland pada Ogos depan.
Kah Ming-Juan Shen yang ketika ini berada di ranking ke-31 dunia tersenarai untuk beraksi di Kejohanan Dunia menerusi sesi pemilihan fasa kedua oleh Persekutuan Badminton Dunia pada awal bulan ini.
Mereka akan menyertai gandingan beregu utama negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong untuk membawa cabaran di Glasgow tatkala beregu lelaki nombor dua negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi serta Goh Sze Fei-Nur Izuddin Rumsani (beregu keempat) pula sebelum ini sudahpun diputuskan akan membawa cabaran di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.
Keputusan BAM ini mudah diduga kerana badan induk itu mahu menyenaraikan barisan pemain seimbang untuk mengalas cabaran di Kejohanan Dunia dan juga Sukan Sea KL 2017.
Bagi Kah Ming-Juan Shen yang mana pencapaian terbaik mereka tahun ini adalah mara sehingga ke peringkat suku akhir Thailand Masters (Januari) dan China Masters (April), perkhabaran ceria ini menyuntik motivasi tambahan buat mereka untuk menampilkan aksi bertenaga di Terbuka Thailand yang berlangsung minggu ini.
“Kami tidak pernah menduga akan mendapat peluang bermain di Kejohanan Dunia, ia satu kejutan buat kami. Masih banyak yang perlu kami perbaiki, ramai pasangan terkemuka dunia akan bermain di sana, jadi kami perlu mempersiapkan diri sebaiknya bagi memberikan tentangan sengit.
“Buat masa ini, fokus kami adalah mahu melepasi pusingan pertama di Bangkok. Kami mendapat undian pusingan pertama yang sangat sukar yang mana kami akan menentang pilihan ketiga Fajar Alfian-Rian Ardianto,” kata Kah Ming yang dahulunya bergandingan dengan Teo Ee Yi.
Gandingan Malaysia lain yang turut beraksi di Terbuka Thailand ini adalah Sze Fei-Izuddin serta gandingan bebas Lee Jian Yi-Lim Zhen Ting. – OLEH MUHAMMAD AIMAN