safee.jdt

Oleh Muhammad Aiman

Pengendali skuad kebangsaan, Dato’ Ong Kim Swee membuat kejutan dan pertaruhan besar apabila memanggil semula penyerang Johor Darul Takzim, Safee Sali bagi latihan fasa terakhir pasukan negara bagi menghadapi Piala AFF Suzuki di Myanmar bulan depan.

Safee merupakan penjaring terbanyak dengan lima gol ketika Malaysia memenangi piala tersebut pada 2010, namun bekas penyerang Pelita Jaya itu tidak pernah menyarung jersi negara sejak hampir setahun setelah membuat penampilan terakhir ketika aksi kelayakan Piala Dunia menentang Emiriah Arab Bersatu pada November tahun lalu.

Malah, dia yang merupakan penyerang pilihan keempat JDT di belakang Jorge Pereyra Diaz, Juan Martin Lucero dan Amri Yahyah sekadar diturunkan beberapa kali sahaja sepanjang musim ini dan menjaringkan enam gol dalam semua pertandingan.   

Namun mempertahankan keputusannya, Kim Swee berkata, “Pengalaman dan reputasi dimilikinya bukan sahaja dalam padang tetapi mampu membimbing pemain-pemain muda lain seperti  Ahmad Hazwan Bakri di bahagian serangan.

“Biarpun kita tahu Safee jarang diturunkan bersama pasukan kelabnya, kita mempunyai dua minggu latihan pusat di mana jadual latihan yang padat ini sudah tentu memberi ruang buat saya untuk perbaiki segala kelemahan yang ada bukan saja pada Safee tetapi juga pemain-pemain lain.

Dalam senarai 26 pemain diumumkan pada Jumaat, tiada perubahan lain disaksikan dengan Kim Swee membuat keputusan mengugurkan lima pemain yang beraksi ketika seri menentang Singapura dan Afghanistan baru-baru ini iaitu Abdul Latiff Suhaimi, Fakhrul Aiman Sidid (PDRM), Adam Nor Azlin (Selangor), Fazrul Hazli Kadri (Perak) dan Azrif Nazrulhaq Badrul Hisham (JDT).  

“Saya memilih untuk mengekalkan pemain lain yang sedia ada dalam senarai 30 pemain sebelum ini kerana tiada masa lagi untuk saya mengenalpasti pemain-pemain lain. Daripada apa yang saya nilai dan lihat, 26 pemain ini adalah yang terbaik dengan lima pemain yang digugurkan itu berada dalam senarai bersedia jika terdapat kecederaan.

“Memang sukar untuk mendapatkan 26 pemain ini tetapi saya terpaksa melakukannya untuk mendapat pemain terbaik di posisi-posisi tertentu,” jelas Kim Swee.

Seramai 18 pemain akan melapor diri ke latihan pusat pada 25 Oktober ini manakala baki lapan pemain dari pasukan Selangor dan Kedah yang terbabit dengan final Piala Malaysia akan melapor diri pada 1 November depan.

Kesemua pemain ini kemudiannya akan menyertai Kem Bina Negara di Port Dickson dari 2-4 November sebelum kembali menjalani latihan di Wisma FAM pada 5 November seterusnya menghadapi perlawanan persahabatan menentang Papua New Guinea pada 14 November.

Kim Swee akan mengumumkan senarai akhir 23 pemain selepas perlawanan itu dan pasukan akan berlepas ke Yangon pada 16 November. Malaysia akan membuka tirai aksi Kumpulan B pada 20 November menentang juara pusingan kelayakan, diikuti Vietnam pada 23 November dan tuan rumah Myanmar pada 26 November.

Senarai pemain :

Penjaga gol : Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Hafizul Hakim Khairul Nizam (Perak), Khairul Azhan Khalid (Selangor)

Pertahanan : Nazirul Naim Che Hashim (Perak), Fadhli Shas (JDT), Ronny Harun (Sarawak), Mathew Davies (Pahang), Ahmad Khuzaimi Piee (Melaka), Rizal Ghazali, Khairul Helmi Johari (Kedah), Shahrom Kalam (Selangor)

Tengah : Shahrul Saad, Nasir Basharudin (Perak), Irfan Fazail, Zaquan Adha Abd Radzak (JDT II), Amri Yahyah (JDT), Fakri Saarani, Hadin Azman (Felda Utd), Safawi Rashid (T-Team), Baddrol Bakhtiar, Syazwan Zainon (Kedah), S.Veenod (Selangor)

Penyerang : Ahmad Hazwan Bakri (Selangor), Darren Lok (JDT II), Safee Sali (JDT), Norshahrul Idlan Talaha (Terengganu)

- Advertisement -