Oleh Muhammad Aiman
Mengambil kira prestasi semasa Johnathan Wong yang menjunam teruk sejak beberapa bulan kebelakangan, sukar untuk meletakkan harapan ke atas atlet menembak itu walau untuk melepasi saingan pusingan awal di Sukan Olimpik Rio De Janeiro Ogos depan.
Johnathan mengharungi deretan aksi mengecewakan sejak meraih pingat emas 10m pistol udara di Kejohanan Kelayakan Olimpik Asia New Delhi Januari lalu, apabila langsung gagal menghampiri catatan mata terbaik peribadinya 585 mata di kesemua empat pusingan kelayakan Kejohanan Dunia yang disertai, termasuk di Baku, Azerbaijan minggu lalu.
Atlet berusia 24 tahun itu sekadar membidik 565 mata untuk menamatkan saingan pusingan kelayakan di tempat ke-46 dari 61 penembak, manakala dalam tiga siri sebelum itu dia hanya mampu mengumpul 575 mata di Bangkok (Mac) dan Rio De Janeiro (April), serta 578 mata di Munich (Mei) justeru memberi bayangan betapa cabaran cukup sukar menanti di Rio.
Johnathan sedar akan hakikat itu, dan seandainya tidak mahu sekadar menjadi pelancong di Rio, dia perlu segera mengatasi masalah utama yang sedang membelenggu prestasinya – kelemahan mental, dan dia mempunyai masa kurang enam minggu untuk melakukannya.
“Seperti saya katakan sebelum ini, saya telah mengambil cuti semester daripada meneruskan pengajian di Universiti Putra Malaysia pada Februari untuk memberi tumpuan penuh terhadap latihan dan persediaan ke Rio. Saya tahu saya tidak berada pada prestasi baik, apapun saya akan bekerja keras untuk mendapatkan semula keyakinan.  Â
“Saya telah berlatih selama seminggu di bawah jurulatih dari Jerman, Philip Bernard di Hannover pada bulan lalu sebelum bertanding di Baku. Selepas ini saya akan bertolak ke Seoul pada 1 Julai nanti, untuk berlatih dengan ketua jurulatih Korea Selatan, Park Song Soon bagi meningkatkan kekuatan mental saya untuk beraksi di Olimpik,” kata pemenang pingat emas Sukan Sea Singapura 2015 itu.
Johnathan akan kembali dari Seoul pada 15 Julai sebelum bertolak awal ke Rio pada 23 Ogos untuk menyesuaikan diri dengan perubahan zon masa dan persekitaran pertandingan.
Di Olimpik, atlet kelahiran Melaka itu akan mengambil bahagian dalam acara 10m pistol udara yang akan berlangsung 5 Ogos, serta 50m pistol pada 10 Ogos.
Sementara itu, Chef De Mission kontijen negara, Tan Sri Al-Amin Abdul Majid yang meluangkan masa meninjau persiapan Johnathan di Gimnasium 3, Bukit Jalil, berharap atlet itu yang sedang berlatih di bawah bimbingan Hashim Desa akan memanfaatkan tempoh masa yang tinggal untuk bangkit dan memberikan yang terbaik di Rio.
Untuk rekod, Johnathan adalah atlet keempat negara dari sukan menembak untuk membuat penampilan di Sukan Olimpik selepas Bernard Yeoh (trap – Athens 2004), Hasli Izwan Amir Hassan (pistol – Beijing 2008) dan Nur Suryani Taibi (rifle – London 2012).