Kontinjen Kelantan berada di kelas tersendiri apabila mendominasi saingan lelaki Bawah 16 tahun Kejohanan Badminton Sirkit Remaja Kebangsaan 100PLUS Divisyen Tiga (pusingan pertama) di Putrajaya hari ini.
Cabaran Kelantan diketuai pilihan utama kejohanan, Goo Vie Keat yang menafikan hasrat wakil tuan rumah, Fawwaz Zainuddin dengan kemenangan straight set 21-14, 21-12 dalam masa 25 minit.
Vea Keat akan berdepan rakan sepasukan Hafizullah Mohd Shukran diperingkat separuh akhir esok.
Hafizullah dipaksa bertarung tiga set sebelum mengesahkan slot ke separuh akhir dengan kemenangan 21-15, 16-21, 21-16 ke atas pemain Pahang, Wan Adib Rifki Wan Marzuki dalam masa 50 minit.
Azim Izzudin turut mengesahkan slot ke separuh akhir selepas menundukkan seorang lagi wakil Pahang, Chan Li Herng straight set 21-13, 21-15 dan akan berdepan satu lagi wakil Kelantan, Kang wei Shern yang menang 21-16, 18-21, 21-12 ke atas seorang lagi wakil Kelantan, Muhd Afiq Suhaimi.
Kem Kelantan turut ceria apabila kakak kepada Vie Keat, Goo Vie Nie turut mengesahkan slot ke separuh akhir selepas menang ke atas wakil Terengganu Hanis Sofea Zaki, 18-21, 21-15, 21-19
Vie Nie bagaimanapun bakal berdepan tugas sukar apabia dijadual bertemu pilihan utama, Tan Jet Sin untuk memburu slot ke final.
Jet Sin terdahulu menundukkan Nurul Hanani Sofea Dali dari Perlis 19-21, 21-10, 21-17.
Manakala pilihan kedua, Evelyn Ng Yan Yi dari Pahang akan bertemu Jessica Cheah Ai Ni untuk memburu slot final selepas menundukkan Nur Balqis Md Kher straight set 21-16, 21-4 sementara Jessica menang ke atas wakil Perlis Poh Wei Nian juga dengan kemenangan straight set 21-14, 21-17.
.Sementara itu, dalam saingan Divisyen Satu yang berlangsung di Pulau Pinang, pemain tuan rumah, Samuel Lee terus unggul melangkah ke separuh akhir sambil diekori pilihan kedua, Chua Jin Yang dari Selangor.
Samuel tidak berdepan masalah untuk menundukkan wakil Johor, Liew Xun 21-15, 21-17 sekaligus bakal berdepan pemain Selangor, Kenny Khew Han Yang yang mengatasi wakil Sabah, Hanz Haiqal Azahawari 21-16, 21-18.
Manakala Jin Yang menang ke atas wakil Pulau Pinang, jayron Chua 21-11, 21-18 untuk mengisi slot ke peringkat separuh akhir.
Lawan Jin Yang adalah pemain Johor, Tiew Hen Zhuan yang menang ke atas Ting Wen Xuan dari Kuala Lumpur.
Lain lain perlawanan, pemain Selangor, Yap Juin An akan berdepan rakan sepasukan, Haris Sufian Rushdan sementara satu lagi aksi suku akhir akan melibatkan dua lagi wakil Selangor, Kok Jia Zheng dan Chua Kim Sheng.