Belumpun cukup dua minggu Liga Malaysia membuka tirai, baru tiga perlawanan berlangsung, namun sudah ada jurulatih yang menjadi korban. Jurulatih Kelantan, Sathit Bensoh menjadi jurulatih pertama untuk dipecat selepas pasukan itu hanya mengutip satu mata dari tiga perlawanan menentang Melaka, Terengganu dan Pahang.
Kelantan tewas aksi pembukaan menentang Melaka (1-2) dan kemudiannya seri menentang Terengganu FC (1-1) di laman sendiri sebelum dimalukan Pahang dengan kekalahan 0-3 pada Sabtu lalu – ia adalah permulaan terburuk Kelantan sepanjang 10 tahun bermain dalam saingan Liga Super.
Situasi di kem Kelantan ini hanya menambah lagi kekusutan sedia ada di mana pengurusan memperlihatkan dengan begitu nyata bahawa mereka tidak langsung punyai pengalaman untuk menangani tekanan dan saat sukar.
Ia boleh diibaratkan sebagai ‘sudah terhantuk baru terngadah’ apatah lagi Kelantan dari awal lagi sudah diingatkan agar tidak melantik Sathit yang tidak mempunyai latar belakang untuk dibanggakan sebaliknya hanya ‘gah’ dengan kejayaan menewaskan Melaka dalam aksi terakhir Liga Super musim lalu.
Pengurusan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) memilih memberikan tanggungjawab besar kepada Sathit, tetapi ia tidak disertai keyakinan dan kepercayaan. Ini kerana untuk menekan seorang jurulatih dari awal bahawa KPI dia adalah hanya empat perlawanan pertama, adalah sesuatu yang mungkin tidak pernah dilakukan mana-mana pasukan.
Kini Kelantan sedang menilai jurulatih baru tetapi dilaporkan bekas jurulatih mereka, Velizar Popov yang hangat dikaitkan untuk kembali, tiada dalam senarai kerana permintaan Popov agar dia diberi kuasa penuh terhadap pasukan, dan tidak ada campur tangan ‘tangan ghaib’ dilihat sukar dipenuhi pengurusan.
Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan pula berkata, “Sebelum ini kita memang menetapkan empat perlawanan untuk menilai kemampuan Sathit tetapi terpaksa membuat keputusan segera kerana pasukan sudahpun berdepan dua pasukan besar dalam tiga perlawanan pertama.
“Kita tidak mahu terus tercicir mata dalam aksi berikutnya dan membuat keputusan drastik mencari pengganti lebih baik. Tetapi kita tidak bercadang memanggil semula Popov. Saya tidak tahu dari mana datang khabar angin ini, tiada siapa yang hubungi dia kerana dia memang tiada dalam perancangan kita.
“Lagipun, kita mahu seorang jurulatih yang boleh menerima dan cepat serasi dengan pasukan, selain mahu berjimat cermat biar kena dengan kewangan persatuan yang kita ada sekarang.”
Tugas Sathit buat sementara ini akan dipikul oleh penolong jurulatih Yusri Che Lah. Aksi mereka yang seterusnya adalah menentang Perak di Kota Bharu pada 24 Februari depan.OLEH MUHD AIMAN