Kelantan akan turun berdepan Pulau Pinang dalam aksi final Piala Emas Raja-Raja (PERR) di Stadium Sultan Muhammad ke-IV malam ini dengan membawa misi mahu mengukuhkan status mereka sebagai pasukan paling berjaya dalam pertandingan yang memasuki edisi ke-77 itu.
Pasukan kendalian Kamaruddin Mohamad itu pernah menjulang PERR sebanyak 13 kali sebelum ini namun gagal melakukannya sejak kali terakhir pada 2010 dan barisan pemain Kelantan bertekad membawa trofi pulang ke Kota Bharu selepas tujuh tahun.
“Kita menghormati Pulau Pinang, skuad mereka dibarisi pemain muda dan berpengalaman. Walaupun kita pernah tewaskan mereka ketika aksi peringkat kumpulan tempoh hari, kita tidak boleh pandang mudah apatah lagi mereka juga begitu inginkan piala ini selepas begitu lama tidak muncul juara.
“Saya mempunyai skuad terbaik untuk diturunkan walaupun kehilangan tiga pemain tonggak, semua pemain dalam keadaan bersedia. Saya akan susun strategi terbaik untuk kita catat kemenangan seterusnya menjadi hadiah terbaik buat meraikan Hari Keputeraan Sultan Muhammad ke-V,” ujar beliau ketika dihubungi Sports247.
Untuk rekod Kelantan layak ke final setelah mengetepikan Kuala Lumpur 2-0 secara agregat di separuh akhir manakala Pulau Pinang pula mengetepikan juara sembilan kali Selangor dengan agregat 1-0.
Kelantan menewaskan Pulau Pinang 2-0 dalam aksi peringkat kumpulan pada September lalu dan mereka juga pernah bertemu dalam dua aksi final sebelum ini iaitu pada 2001 dan 2008 dengan kedua-duanya dimenangi Kelantan di Kota Bharu.
Justeru pengendali pasukan dari utara itu, Ir Jamil Mohd Nor tidak mahu pasukannya dikecewakan sekali lagi, “Kali terakhir kita muncul juara pada 2002, ia satu tempoh yang lama. Selepas itu kita masuk final pada 2008 tetapi tewas kepada Kelantan, jadi ini peluang untuk menebus semula kekalahan tersebut. Saya percaya kita boleh menyaingi Kelantan dan menewaskan mereka.
“Walaupun mereka ada kelebihan penyokong sendiri, malah pernah menewaskan kita di peringkat kumpulan sebelum ini, final adalah sesuatu yang berbeza. Pemain begitu dahagakan kejuaraan dan saya percaya mereka akan kerah segala kudrat untuk memenangi aksi final ini.” – OLEH MUHAMMAD AIMAN