football.rain.42

Oleh Muhammad Aiman

Barisan pemain B-21 Kelantan melakar sejarah tersendiri apabila menjulang Piala Presiden buat kali ketujuh dengan menewaskan T-Team 2-0 dalam aksi final di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu dan melengkapkan kemenangan agregat 3-1.

Skuad bimbingan Hashim Mustapa itu hanyalah pasukan kedua yang berjaya mempertahankan kejuaraan buat dua musim berturut-turut sejak kali terakhir Negeri Sembilan melakukannya pada 2002.

The President Warriors (TPW) bagaimanapun perlu berterima kasih kepada sentuhan klinikal di depan gol tatkala tuan rumah bimbingan Nafuzi Zain lebih mendominasi perlawanan dan meratapi kegagalan menyempurnakan peluang terhidang.

TPW membuka jaringan pada minit ke-41 apabila penyerangnya Raihan Huzaizi merampas bola sepakan lemah penjaga gol T-Team, Asyraf Azmi di penjuru kotak penalti dan tidak mensesiakan peluang keemasan dengan merembat masuk gol pertama.

Penyerang berbisa yang semakin menjadi sebutan, Danial Ashraf Abdullah menutup sebarang peluang buat The Titans menterjemahkan kebangkitan apabila dengan tenang melakukan penyudah yang terhasil menerusi serangan balas, lapan minit sebelum tamat permainan. Ia juga adalah gol ke-20 peribadinya di kejohanan ini.

Kemenangan terbaru ini adalah yang keempat buat TPW dalam enam tahun terakhir sekaligus membuktikan mereka masih lagi pasukan terbaik bagi saingan Piala Presiden. Sebelum ini, mereka muncul juara pada 1985, 1995, 2005, 2011, 2013 dan 2015.     

Meskipun kategori B-21, ia setidak-tidaknya mengubat duka peminat bolasepak Kelantan setelah pasukan senior kempunan trofi buat musim ketiga berturut-turut.    

- Advertisement -