Kelantan kembali dalam persaingan untuk merebut tiket ke suku akhir Piala Malaysia setelah melakar kejutan ke atas juara bertahan, Johor Darul Takzim di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu pada Jumaat.

Jaringan penyerang import, Cristiano Santos menerusi sepakan penalti pada minit ke-45 membantu sang kijang untuk melakar kemenangan pertama mereka di dalam Kumpulan E seterusnya melonjak ke tangga kedua dengan empat mata.

Pengadil Suhaimi Mat Hassan menghadiahkan sepakan penalti tersebut setelah Danial Asyraf Abdullah dikasari oleh Azrif Nasrulhaq. Ia merupakan gol pertama Santos, penyerang kelahiran Brazil buat Kelantan dalam sembilan perlawanan.

Malam gembira buat Santos bagaimanapun bertukar menjadi tragedy apabila dia dan pemain gantian Hakimi Abdullah dilayangkan kad merah menuju ke wisel penamat sekaligus menyaksikan Kelantan menamatkan perlawanan dengan sembilan pemain.

Kekalahan kedua buat harimau selatan selepas tiga perlawanan menyaksikan mereka tergelincir ke tangga ketiga dengan hanya tiga mata.

 

 

Sementara itu, dalam satu lagi aksi yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka dikerah bangkit dari ketinggalan dua gol untuk menyelamatkan satu mata apabila mencatat keputusan seri 2-2 menentang PDRM.

PDRM yang tewas dalam kedua-dua aksi sebelum ini mendahului 2-0 menerusi jaringan Sim Woon Sub pada minit ke-49 dan Nabil Ahmad Lafti pada minit ke-78.

Namun pada ketika PDRM sudah berkira-kira untuk membawa pulang kemenangan, Ifedayo Olusegun menjaringkan gol pada minit ke-86 disusuli Yahor Zubovich pada masa kecederaan untuk kedua-dua pasukan akhirnya berkongsi satu mata.

Ia adalah keputusan seri ketiga berturut-turut buat Melaka selepas terdahulu seri tanpa jaringan menentang Felda United dan 3-3 menentang PKNS. MUHD AIMAN 

- Advertisement -