Kelantan mengubat duka tersingkir dari saingan Liga Super dengan menyambar slot terakhir untuk beraksi di Piala Malaysia setelah menewaskan Pahang 2-1 dalam aksi terakhir Liga Super pada Ahad.
Aksi di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV Kota Bharu, Kelantan turun dengan menyedari seri sudah memadai untuk mereka layak ke saingan Piala Malaysia berikutan kekalahan yang dialami oleh Negeri Sembilan dalam aksi lebih awal pada Sabtu.
Setelah permulaan yang sedikit hambar, Kelantan berjaya mendahului pada minit ke-43 menerusi jaringan Danial Ashraf Abdullah.
Pahang menyamakan kedudukan menerusi Austin Amutu pada minit ke-65 namun Shafiq Shaharudin kembali menceriakan penyokong tuan rumah dengan meledak jaringan kemenangan 10 minit kemudian.
Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Yusri Che Lah itu memintas Negeri Sembilan dan menduduki tangga kesebelas dengan 18 mata. Manakala kekalahan buat Pahang menyaksikan mereka terlepas peluang untuk muncul naib juara sebaliknya kekal di tangga keempat dengan 34 mata. Negeri Sembilan pula akan bermain dalam saingan Piala Cabaran.
Sementara itu, Terengganu FC turut mensesiakan peluang untuk menamatkan saingan selaku naib juara apabila tewas mengejut 0-2 kepada Selangor di Stadium Bolasepak Cheras. Jaringan oleh Syahmi Safari dan Rufino Segovia menyaksikan skuad Red Giants menamatkan musim di tangga kelapan sementara Terengganu bimbingan Irfan Bakti kekal di tangga kelima dengan 34 mata.
Kegagalan Pahang dan Terengganu, menyaksikan kedudukan naib juara akhirnya tetap menjadi milik Perak yang dimalukan dengan kekalahan besar 1-4 di tangan PKNS FC pada Sabtu. Ia adalah pencapaian terbaik sang seladang sejak 2007.
Aksi lain, Kedah menutup musim dengan kekalahan 1-3 di tangan PKNP FC. Gol buat skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim dijaringkan Ritus Kjaurklis (m-24) dan Kim Sang Woo (m-33,64) manakala Kedah membalas menerusi Sandro Mendonca da Silva. MUHD AIMANÂ